CHEMOR: Pasti ramai yang mengetahui kisah hidup graduan kejuruteraan, Siti Hajjar Ahmad, si penjual Nasi Lemak Anak Dara yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
Disebalik kisahnya yang viral itu, terselit suatu mesej yang masyarakat boleh belajar untuk dijadikan teladan atau panduan hidup lebih-lebih lagi kalangan anak-anak muda seusia Siti Hajjar.
Ini diakui sendiri Pengarah Urusan D'Aman Residence, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz yang menegaskan kisah Siti Hajar dan perniagaan nasi lemaknya itu membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang berjaya dalam perniagaan.
“Sekiranya ada kemahuan, minat dan usaha gigih, sesiapa sahaja boleh berjaya dalam apa jua perniagaan yang diceburi. Tidak ada had umur untuk kita berjaya,” katanya.
Azizul berkata selain Siti Hajjar, di Ipoh sendiri sudah ramai anak muda yang menunjukkan kemampuan masing-masing dalam pelbagai bidang perniagaan yang diceburi.
Beliau memberikan contoh belia yang mengusahakan perniagaan berkonsepkan hipster dan ‘Food Truck’ di bandaraya ini sebagai bukti mereka mampu menjana pendapatan lumayan.
Mengimbau pengalamannya sendiri, Azizul berkata beliau sendiri telah berjinak-jinak dengan selok belok berniaga sejak kecil lagi.
"Seingat saya, dahulu ada saudara-mara, rakan karib malah saya sendiri terlibat dengan aktiviti berniaga sejak kecil dengan mengikuti orang tua berniaga kuih-muih atau membantu di kedai runcit selepas waktu sekolah.
"Walaupun pada hakikatnya hanya membantu namun ramai tidak sedar bahawa ia adalah permulaan yang baik kerana inilah masanya mereka dapat belajar banyak perkara.
"Secara tidak langsung, semua ini dapat menyuntik keyakinan dalam diri kita. Oleh itu sesiapa yang ada peluang membantu ibu bapa mereka berniaga, rebutlah peluang itu dan ‘curilah’ ilmu keusahawanan sebanyak mungkin kerana ia amat berguna untuk mereka kelak,"katanya kepada Suara Perak.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Keusahawanan di Sekolah Kebangsaan Syed Idrus, Ulu Kuang di sini pada petang Ahad.
Azizul berkata minat keusahawanan dalam dirinya berkembang sedikit demi sedikit sehingga dia mampu menghidu peluang perniagaan ketika belajar di Universiti Teknologi Mara.
Antaranya adalah mengambil kerja mencetak T-shirt dan topi untuk menjana pendapatan, katanya.
"Saya pernah membaiki dan menjual basikal terpakai, kemudian saya buka syarikat pelancongan Zulkama Travel dengan lima unit bas persiaran.
Dan hari ini saya terlibat dengan perniagaan memajukan hartanah,"katanya.
Katanya, sifat keusahawan dalam diri anak-anak dapat dipupuk apabila ibu bapa dapat mendidik anak membuang rasa malu membantu mereka membuat aktiviti melibatkan perniagaan.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap ibubapa yang masih menganggap kerja makan gaji adalah lebih baik dan terjamin daripada bekerja sendiri.
"Ibu bapa seperti ini perlu lebih membuka mata. Lihat sahaja kejayaan Bumiputera dan anak-anak Melayu hari ini. Kita patut bangga kerana mereka ada sikap tidak putus asa.
"Contohnya, sambutan Hari Keusahawanan di sekolah ini. Ini merupakan platform terbaik untuk menyemai semangat dan inisiatif keusahwanan di kalangan pelajar.
"Saya harap lebih banyak lagi aktiviti dan program sebegini dapat dilaksanakan pada masa hadapan untuk menyemai ciri-ciri keusahawanan dalam diri mereka,"katanya lagi.