top of page
muinsapidin

YBU, BAIDURI ceriakan 10 keluarga India sempena Deepavali

Sambutan Deepavali buat 10 keluarga India susah di Sungai Siput menjadi lebih bermakna berikutan kunjungan mesra anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) dan Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat (BAIDURI) hari ini.

Kunjungan yang diketuai Isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga Yang Dipertua BAIDURI menjelajah tiga kampung bertujuan membawa kecerian kepada keluarga susah itu yang bakal menyambut hari kebesaran mereka pada 30 Oktober ini.

Setiap keluarga menerima ‘buah tangan’ berbentuk wang tunai berjumlah RM300 dan kotak makanan bagi meringan bebanan keluarga terbabit membuat persiapan Deepavali.

Tiga daripada keluarga itu dari Kampung Enggor, empat dari Kampung Kemuning dan selebihnya dari Ladang Dovenby.

Dua daripada keluarga terbabit yang juga merupakan warga tua T. Seetha, 73 dari Kampung Enggor dan C.Rajaratnam, 69, Kampung Kamuning, 69, masing-masing turut menerima bantuan membaikpulih rumah mereka yang daif dan uzur.

Seetha menyifatkan pemberian itu sebagai hadiah Deepavali paling bermakna yang pernah diterima sepanjang hidupnya.

Ibu tunggal itu berkata bantuan itu memang sudah lama dinanti-nantikan kerana tidak berkemampuan untuk membaiki rumahnya yang semakin mereput.

“Gembira sekali kerana terpilih menerima bantuan ini. Sudah lama atap rumah bocor tetapi saya biarkan sahaja kerana tidak ada duit. Tak sangka ada pihak yang sudi membaiki rumah saya,” katanya.

Wanita itu yang kematian suami kini tinggal bersama anak lelaki, menantu dan cucunya.

"Anak saya bukan kerja besar. Kami sekeluarga amat terharu dengan pemberian ini ini,"kata Seetha.

Bagi Rajaratnam lawatan itu sangat bermakna buat mereka sekeluarga lebih-lebih lagi isterinya baru sahaja menjalani pembedahan usus.

“Isteri saya sakit dan saya pula tidak mempunyai sumber pendapatan. Cuma bergantung kepada bantuan JKM berjumlah RM 300 sebulan.

“Kami gembira sebab keadaan rumah ini akan dibaikpulih, tiada lagi atap bocor dan kehidupan kami lebih selesa selepas ini,” kata Rajaratnam.

Program lawatan ini merupakan anjuran bersama YBU, BAIDURI dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Lintang dan MIC Bahagian Sg.Siput.

Turut sama turun padang Ketua Eksekutif YBU, Datuk Ismail Safian, ADUN Lintang, Datuk Dzolkay Harun, wakil dari MIC serta ahli-ahli BAIDURI.

Sementara itu, Ismail, berkata Sungai Siput dipilih bagi penyampaian sumbangan tahun ini memandangkan kawasan mempunyai ramai keluarga India.

"Dua keluarga itu terpilih berikutan keadaan rumah yang sangat uzur. Kerja membaiki rumah ini akan dilakukan secepat mungkin dan akan siap supaya mereka boleh menyambut Deepavali dalam keadaan lebih selesa,"kata Ismail ketika ditemui.


24 views0 comments
bottom of page