Kira-kira 200 warga emas diraikan dalam Program Tautan Kasih yang menampilkan dua artis veteran tanah air di Rumah Seri Kenangan, Taiping petang Isnin.
Program anjuran Yayasan Pendidikan Titiwangsa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat itu diserikan dengan kehadiran personaliti Uji Rashid dan Hail Amir bagi menghiburkan penghuni di situ.
Menurut Penguasa Rumah Seri Kenangan Taiping, Abdul Razak Yahya objektif utama program ini dianjurkan bagi mewujudkan aktiviti santai buat penghuni rumah berkenaan .
“Selain untuk ceriakan mereka dengan artis yang mereka suka, kita juga mahu membina hubungan bersama Yayasan Pendidikan Titiwangsa yang sudi hadir ke mari dan memberikan sedikit sebanyak sumbangan,” kata Abdul Razak.
Sementara itu Pengurus Operasi Yayasan Pendidikan Titiwangsa, Shahrizan Mustapha Albakri ketika ditemui berkata Rumah Seri Kenangan Taiping merupakan lokasi pertama program seumpama itu dianjurkan.
“Kalau di Perak inilah kali pertama kami terlibat dengan program bersama warga emas di rumah ini. Kita bantu apa yang patut mengikut keperluan, selain itu warga emas di sini juga mahukan suasana yang gembira dan ceria
Jadi hari ini kita bawa artis yang begitu diminati dahulu sehingga sekarang untuk ceriakan penghuni di sini, nampaknya mereka semua terhibur” kata Shahrizan.
Yayasan Pendidikan Titiwangsa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan bertujuan menaik taraf pendidikan pelajar di bawah naungan kawasan Parlimen Titiwangsa.
Selain itu ia juga terlibat secara langsung dalam membantu melahirkan modal insan cemerlang serta bergiat aktif dalam membantu golongan kurang bernasib baik.