TAIPING - Tembok guni pasir sepanjang 400 meter yang dibina penduduk di Sungai Matang sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang berjaya mengelakkan Kampung Menteri, Kuala Sepetang dinaiki air walaupun hujan lebat selama lima jam pada pagi Isnin.
Tembok yang dibina secara bergotong royong oleh penduduk kampung tersebut pada Jumaat lalu telah menghalang limpahan air dari sungai berkenaan sekaligus menyelamatkan lebih 200 buah rumah.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Tahir Mohd Razali berkata, paras air di sungai itu pada pagi Isnin adalah yang tertinggi dalam sejarah kampung berkenaan.
Namun katanya, keberkesanan tembok yang dibina dengan bantuan beberapa agensi kerajaan berjaya mengelakkan banjir.
"Alhamdullilah apa yang kita jangka memang terjadi, macam bulan lepas air telah naik dan akan melimpah masuk kampung.
"Kalau kita tak buat tembok itu Jumaat lepas kemungkinan besar akan terjadi sekali, bulan lepas habis barangan seperti mesih basuh dan peti ais penduduk rosak," katanya ketika ditemui di Kuala Sepetang pada pagi Isnin.
Bagaimanapun, beliau memberitahu pihaknya menjangkakan paras air di sungai itu akan lebih meningkat pada malam Selasa dan kerja menambah ketinggian tembok itu akan dilakukan secepat mungkin.
"Kami jangka malam ini dan pagi esok akan lebih tinggi air ini dan tembok ini tidak akan berjaya menghalangnya.
"Jadi kita akan berpagkat dengan orang kampung, petang ini kita akan tambah lagi guni pasir di sekitar yang kita jangka naik itu," ujarnya.
Sementara itu tinjauan Suara Perak di kawasan lain dekat Kuala Sepetang mendapati sekurang-kurangnya 40 buah rumah telah dinaiki air dengan ketinggian 0.07 meter di Taman Kuala Sepetang.
Air mula menaiki taman perumahan itu sekitar jam 5 pagi tadi selepas hujan lebat selama lima jam di kawasan Kuala Sepetang.
Namun tiada pemindahan telah dilakukan dan rata-rata penduduk yang ditemui memberitahu ianya merupakan perkara biasa bagi taman berkenaan.
"Ini tak ada apa lah jika dibandingkan itu hari air naik sampai 11 inci dan masuk sehingga ke dalam rumah.
"Taman ini banjir selalunya sebab ribut sahaja, ini ditambah pula dengan air pasang besar, penduduk sudah biasa," kata Lee Chai Lye, 66, salah seorang penduduk yang ditemui.
Setakat ini di Perak lima daerah telah terkesan dengan fenomena air pasang besar iaitu Daerah Bagan Datoh, Kerian, Manjung, Hilir Perak dan Larut Matang & Selama.