top of page
muinsapidin

Perak Jalin Kerjasama Dengan Jerman Dalam Teknologi Automotif

IPOH: Perak bakal menjadi pusat latihan kemahiran teknikal dan kepakaran teknologi Jerman berikutan kerjasama yang terjalin antara Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) dengan Aachen University untuk melatih tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan automotif.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri menyambut baik kolaborasi tersebut kerana ia bakal memberi nilai tambah kepada tenaga mahir yang dikeluarkan oleh PHCDC.

Katanya dengan kepakaran itu nanti akan membuka peluang yang lebih luas kepada anak Perak untuk bekerja dengan firma pemotoran di seluruh dunia.

“Apa yang dilakukan PHCDC ini merupakan satu permulaan yang baik bagi menyahut aspirasi kerajaan negeri yang mahu melihat lebih ramai tenaga kerja mahir yang dihasilkan menepati permintaan pasaran kerja.

"Kerjasama dengan Jerman ini juga tepat sejajar dengan kedudukan negara itu yang terkenal dengan tradisi industri pemotoran termasuk jenama yang mendominasi pasaran dunia iaitu BMW, Mercedes dan Audi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama tenaga pengajar daripada Aachen University di Casuarina@Meru petang Isnin.

Katanya, sebarang usaha untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran serta mengurangkan kadar penggangguran di Perak baik di peringkat tempatan dan global adalah langkah yang sentiasa diterima secara positif oleh kerajaan negeri.

Setiausaha Agung Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia

(FMSDC), Alias Mohd Nadzri berkata pihaknya memilih Perak untuk kerjasama itu berikutan wujudnya kemudahan lengkap bagi latihan itu dijalankan di PHCDC.

Katanya di bawah kerjasama Malaysian Meister Program in Automotive itu tumpuan akan diberikan kepada latihan dan kemahiran melibatkan mekatronik dan sistem enjin hybrid.

Jelasnya, seramai 12 peserta yang mempunyai lima tahun pengalaman dalam bidang automotif telah terpilih untuk mengikuti kursus pengenalan selama dua minggu di PHCDC bermula 17 Oktober ini.

Peserta kemudiannya akan dihantar untuk mengikuti kursus intensif selama lima minggu di Jerman, katanya.

"Setelah tamat kursus, mereka ini akan kita ambil untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang automotif dan akan ditempatkan di pusat-pusat kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Politeknik dan sebagainya,” katanya.


31 views0 comments
bottom of page