IPOH: Polis Perak menahan seorang peniaga dan merampas ganja dengan anggaran seberat 8091.03 gram bernilai RM16,182.06 dalam satu serbuan di pakir kenderaan sebuah hotel di Bandaraya Ipoh pada pagi 14 Oktober lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP R. Ravi Chandran, peniaga berumur 46 tahun itu yang mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.
Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek juga mendapati positif dadah jenis amphetamine, katanya
"Ganja yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 7.500 orang penagih dadah di sekitar kawasan Ipoh, ‘’ katanya kepada pemberita di ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Isnin.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama enam hari mulai 14 Oktober sehingga 20 Oktober ini.
Menurut Ravi Chandran, pada 14 Oktober kira-kira jam 11.30 pagi sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Sisasatan Jenayah Narkotik telah membuat serbuan di pakir kenderaan sebuah hotel di Bandaraya Ipoh dan menahan suspek serta merampas ganja tersebut.
Katanya, dalam serbuan itu pasukan polis juga merampas sebuah kereta jenis Hyundai dan hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah dilaporkan hilang pada 15 Ogos 2016 bersabit laporan polis Sungai Senam.
Dalam sidang media yang sama beliau berkata, penangkapan kes dadah bagi tempoh Januari hingga 16 Oktober tahun ini meningkat sebanyak tiga peratus dengan penangkapan 10,975 orang berbanding 10,659 bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh itu seramai 1,791 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan mengedar dadah iaitu peningkatan 12 peratus berbanding 1,599 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015.
Katanya, daripada jumlah itu 418 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatory manakala 103 orang ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
"Kebanyakkan mereka ini merupakan dalang dan perancang dalam sindiket dadah yang berjaya ditumpaskan oleh pihak polis,’’katanya.