MANJUNG: Seramai 23 warga Filipina dihukum penjara 2 tahun dan denda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah memiliki kad pengenalan palsu (IC) dan menggunakan kad pengenalan orang lain.
Majistret Nur Shaqira Ibrahim juga memerintahkan kesemua pesalah dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Beliau mengeluarkan perintah mereka dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Kesemua warga Filipina yang berasal dari Davao, Basilan dan Jolo Sulu ditahan pegawai penguatkuasa JPN dalam satu operasi di sekitar Manjung antara pukul 12 malam hingga 6 pagi 4 Oktober lalu.
Kes dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Mohd Ashgar Mohd Hussain manakala kesemua mereka tidak diwakili.