top of page
muinsapidin

Raja Muda, Tuanku Jaafar tinjau persiapan hadapi bencana air pasang

TELUK INTAN: Raja Muda Perak, Tuanku Jaafar Raja Muda Musa berkenan mencemar duli berangkat ke jeti Kampung Terengganu di sini malam tadi meninjau persiapan menghadapi bencana banjir besar berikutan ramalan air pasang dan hujan lebat di beberapa kawasan berisiko tinggi di negeri ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam ( APM) Hilir Perak, SM ( PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata baginda tiba di bilik operasi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sekitar pukul 10 malam Sabtu. Turut mengiringi baginda, Pemangku Pegawai Daerah Hilir Perak merangkap Pengerusi Bencana Daerah Hilir Perak, Zulhisham Ahmad Shukori dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad. Fazli, yang juga merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata setibanya baginda di kawasan berkenaan satu sesi penerangan mengenai keadaan terkini fenomena air pasang di Daerah Hilir Perak dipersembahkan kepada baginda. "Baginda bertanyakan mengenai keadaan air pasang surut di kawasan berkenaan dan meluangkan masa sekitar 15 minit. "Bagaimanapun, kita telah memaklumkan mengenai kemungkinan air pasang besar berlaku sekitar pukul 4 pagi nanti,"katanya ketika dihubungi. Jelasnya, baginda turut meluangkan masa dan sempat beramah mesra bersama anggota bertugas termasuk anggota keselamatan dan APM. Sementara itu, keadaan paras air di sekitar beberapa lokasi ramalan fenomena air pasang besar tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dan masih stabil. Mengikut laporan yang dikeluarkan, operasi pemantauan di beberapa kawasan berisiko di daerah sedang diadakan di Hilir Perak, Bagan Datoh,Kerian serta Manjung. "Bagi daerah Bagan Datoh, pemantauan di lima mukim mendapati air pasang beransur surut dan keadaan terkawal serta tiada kediaman penduduk dinaiki air justeru tiada pemindahan mangsa dilakukan.

"Bagi daerah Kerian tiada sebarang pemindahan setakat ini, air sedang surut dan kerja penambakan sedang dijalankan di Kampung Nelayan Kuala Kurau," menurut laporan itu Selain itu, laporan bagi daerah Manjung mendapati air sungai di Kg Pantai Tin dan Kg Hujung Pasir berada pada paras sederhana dan selamat bagi penduduk. Sementara itu, Fazli berkata tiada air melimpah dikesan di kawasan jalan kampung malah guni-guni pasir siap sedia untuk sebarang kemungkinan di Kampung Bagan Panchor, Pengkalan Baru. "Terdapat peningkatan air pasang di Kg Nelayan, Teluk Senangin namun masih selamat bagi penduduk dan tiada aktiviti pemindahan dilakukan. "Air mulai pasang di kawasan daerah Hilir Perak namun masih terkawal dan begitu juga bagi daerah Larut Matang & Selama,"katanya. Fazli berkata sehingga pukul 1 pagi ini semua kawasan berada dalam keadaan terkawal dan sebarang perubahan maklumat akan dilapor segera oleh anggota bertugas yang membuat rondaan. Operasi pemantauan di kesemua daerah tersebut melibatkan 60 pegawai dan anggota APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung.


56 views0 comments
bottom of page