top of page
muinsapidin

Air Pasang Besar - Kecuali Pantai Remis, Keadaan Terkawal

Fenomena air pasang besar di daerah Manjung agak mencemaskan apabila ban yang dibina di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis pecah dipukul ombak berikutan peningkatan paras air melepasi normal sekitar pukul 5 pagi Ahad.

Malah,jalan utama kampung itu sepanjang 300 meter turut dinaiki air yang melebihi paras biasa sebelum melimpah memasuki kawasan halaman rumah penduduk kampung. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kawasan paling teruk terjejas adalah di Kampung Bagan Panchor, Manjung apabila 15 buah rumah dinaiki air sehingga 0.75 meter. Tinjauan Suara Perak mendapati, beberapa penduduk di kampung itu berjaga sepanjang malam bagi bersiap siaga menghadapi fenomena tersebut. Sehingga kini, keadaan beransur reda apabila air laut di kampung itu mulai surut sekitar 7.30 pagi dan cuaca mulai mendung tetap tiada sebarang pemindahan dilakukan kerana lokasi masih selamat. Tiga buah daerah di negeri Perak iaitu Manjung, Bagan Datoh dan Hilir Perak adalah antara yang terjejas berikutan fenomena air pasang besar pada awal pagi Ahad. Di Bagan Datoh, lima kampung iaitu di Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut Air turut dinaiki air melepasi paras biasa dan memasuki halaman rumah pada jam 5 pagi tadi. Kawasan lain yang terjejas di Daerah Manjung adalah di Kampung Kayan, Pasir Panjang Laut, Kampung Sitiawan, Pantai Tin, dan Planta Pantai Remis. Di Hilir Perak, kawasan yang dinaiki air adalah di Batu 7 Setengah Batak Rabit, Lorong Kalat Batak Rabit dan Kampung Esso. Bagaimanapun, keadaan keseluruhan di sepanjang kawasan kediaman serta penempatan bagi ketiga-tiga daerah adalah masih terkawal dan tiada pusat pemindahan yang dibuka setakat ini. Air mulai surut sepenuhnya di semua kawasan kira-kira jam 8 pagi tadi. Manakala bagi daerah Kerian, Larut Matang dan Selama air pasang yang berada paras sederhana pada malam Sabtu kini dilihat semakin surut dan tiada sebarang pemindahan dilakukan. Sehingga pukul 11 pagi ini semua kawasan berada dalam keadaan terkawal dan sebarang perubahan maklumat akan dilapor segera oleh anggota bertugas yang membuat rondaan. Operasi pemantauan di kesemua daerah tersebut melibatkan beberapa pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Malaysia ( APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) serta penduduk kampung.


46 views0 comments
bottom of page