Sitiawan: Lebih daripada 1,500 peserta dari pelbagai agensi di sekitar daerah Manjung bergabung tenaga menanam 10,000 benih pokok bakau di sepanjang persisir pantai dekat Kampung Sungai Tiram dekat sini.
Aktiviti menanam pokok bakau itu dilaksanakan bersempena dengan perasmian Jambatan Ilmu TLDM sepanjang 18 meter di kampung itu pagi Sabtu
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi yang hadir merasmikan majlis itu berkata jambatan itu berperanan sebagai pusat penyelidikan serta pembelajaran luar bilik darjah buat pelajar sekolah di negeri ini.
“Jambatan ini amat sesuai dijadikan lokasi aktiviti luar bilik darjah buat pelajar mempelajari pelbagai spesies bakau dan kaedah penangkapan hasil laut oleh nelayan tempatan seperti bubu, merawai dan sebagainya,” katanya.
Norlee berkata selain dijadikan pusat penyelidikan dan rujukan, Jambatan Ilmu ini juga berpotensi sebagai pusat eko pelancongan seterusnya menjana pendapatan buat penduduk setempat.
“Menyedari kepentingan Jambatan Ilmu ini daripada segi pendedahan dan kesedaran selain dijadikan produk pelancongan, kerajaan negeri bersetuju membina Galleri Ilmu berhampiran jambatan ini.
Sebanyak RM200,000 akan diperuntukan bagi tujuan ini dan kita berharap pembinaannya dapat dilaksanakan tahun depan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program tersebut.
Mengulas mengenai penanaman benih bakau, ia merupakan kempen penanaman secara besar-besaran di peringkat daerah Manjung setakat ini.
Usaha itu merupakan satu bentuk promosi kepada orang ramai dan dunia luar terhadap langkah kerajaan negeri dalam memulihara kawasan persisir pantai, katanya.
Katannya lagi projek tanaman bakau di kawasan itu juga memberi manfaat kepada 10 surirumah di kampung tersebut apabila mereka berpeluang menjana pendapatan hasil penjualan benih pokok bakau.
“Lokasi tanaman tertumpu di bahagian bawah jambatan. Ini bertujuan memudahkan proses pemantauan serta kajian oleh penyelidik dan pengunjung ke kawasan itu,” katanya.
Norlee berkata kedudukan jambatan itu juga yang terletak di Parit Haji Dollah dengan sebuah muara kecil paling dekat ke Pulau Sembilan membuka banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat dengan sektor pelancongan.
Majlis perasmian Jambatan Ilmu itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran beberapa selebriti tempatan seperti Nizdawati Nazaruddin atau lebih dikenali dengan Lisdawati.
Lisdawati turut mengambil bahagian menanam anak benih pokok bakau itu bersama rakan-rakan artis lain.
“Setahu saya, pokok bakau inilah yang menjadi benteng atau pemecah ombak besar ketika air pasang besar memukul pantai, jadi kami hadir untuk memberi sokongan kepada orang kampung di sini,” katanya.
Program anjuran Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu turut mendapat kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM), Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan dan kerajaan negeri.