MANJUNG: Keseluruhan keadaan paras air di sekitar perairan Lumut setakat ini berada pada keadaan stabil di sebalik ramalan air pasang besar yang dilaporkan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Pantai Remis, Penolong Penguasa Bomba Amir Ahmad berkata hasil pemantauan dan rondaan berkala pihaknya mendapati tiada sebarang perubahan aras air yang ketara sehingga jam 6 pagi Sabtu. "Ramalan awal yang mengandaikan paras air akan meningkat setinggi 3.2 meter pada pukul 3.24 pagi ini ( Sabtu) namun sehingga kini kami mendapati tiada sebarang perubahan drastik yang berlaku. "Pihak kami melakukan pemantauan bermula daripada pukul 12 tengah malam sehingga 6 pagi di sekitar Kg Panchor, Kg Nelayan Pantai Tin dan Tanjung Burung di sekitar Pantai Temis semasa air pasang,"katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, pemerhatian awal mendapati keadaan angin serta aliran ombak tidaklah begitu serius dan kuat walaupun terdapat peningkatan paras air daripada paras biasa. Katanya, cuaca di sekeliling perairan Lumut,Manjung dan Segari dalam keadaan baik dan hanya hujan remis sementara sehingga pukul enam pagi ini. Amir berkata pemantauan tersebut turut melibatkan pelbagai pihak termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Jabatan Pengaliran dan Saliran ( JPS) Negeri Perak menggunakan pacuan empat roda di sekitar kawasan berisiko. "Pihak kami akan terus melaksanakan pemantauan dari masa ke masa dan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang kemungkinan air pasang besar di kawasan berkenaan dengan segera,"katanya lagi.