top of page
muinsapidin

Gallery Bookstore kini di Kuala Kangsar

Sesuai dengan jolokan Kuala Kangsar sebagai bandar pendidikan tertua negara, bandar Diraja ini kini mempunyai kedai buku serba lengkap bertaraf kosmopolitan iaitu Gallery Bookstore.

Ini menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar pertama di negeri ini yang mempunyai kemudahan Gallery Bookstore.

Pengarah Urusan Gallery Bookstore Sdn Bhd, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata Kuala Kangsar merupakan rangkaian Gallery Bookstore yang kelima.

Katanya terdapat lebih 25,000 bahan bacaan boleh dibeli di kedai buku ini terdiri daripada buku-buku ilmiah, novel dwi Bahasa, majalah dan bahan rujukan sekolah-sekolah selain peralatan alat tulis.

“Kewujudan Gallery Bookstore di sini secara tidak langsung dapat memastikan nama Kuala Kangsar sebagai bandar pendidikan tertua dalam negara terus hidup.

“Kita tahu memang sudah ada banyak pasaraya buku yang terkenal di luar sana tetapi kami masih yakin untuk turut serta dalam pasaran penjualan buku.

Malah kami juga menetapkan fokus Gallery Bookstore adalah untuk mendekati masyarakat di kawasan bandar kedua penting sesebuah negeri, jadi kami tidak bimbang tentang persaingan.

Selain itu, Gallery Bookstore juga menggunakan konsep tersendiri iaitu Kedai Buku Komuniti Anda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian rangkaian terbaru Gallery Bookstore di Kuala Kangsar pada Sabtu.

Empat lagi rangkaian Gallery Bookstore adalah di Masjid Tanah, Melaka yang dibuka pada Disember tahun lalu, diikuti dengan Bangi dan Cheras di Kuala Lumpur dan Alor Setar serta Jitra, Kedah.

Beliau berkata syarikat tersebut juga merancang menambahkan sebuah lagi rangkaian di Pahang bulan depan.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya berharap impian untuk mewujudkan Gallery Bookstore di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan tercapai pada pertengahan tahun depan,” katanya.


97 views0 comments
bottom of page