Sitiawan: Pendekatan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) yang tidak mengamalkan diskriminasi terhadap rakyat merupakan cerminan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini dapat dibuktikan apabila kerajaan tidak memilih bulu dalam membantu rakyat yang menghadapi masalah atau ditimpa sesuatu kesusahan.
Katanya bantuan diberikan kepada setiap rakyat yang memerlukan tanpa kerajaan melihat latarbelakang politik, agama atau bangsa penerima itu.
“Bila rakyat susah kita bantu. Kita tak lihat dia DAP, PAS, UMNO, MCA atau MIC,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian geran kampung baru kepada 82 keluarga di kampung Baru Pekan Gurney di sini petang Jumaat.
Kesemua 82 keluarga itu merupakan penduduk 12 kampung baru sekitar Sitiawan.
Beliau berkata pemberian geran tanah bagi kampung baru sekitar Sitiawan adalah contoh nyata kerajaan BN tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana pihak.
“Kawasan ini (DUN Sitiawan) mana ada yang sokong BN. Tapi kita masih luluskan permohonan geran tanah kepada penduduk di sini.
Memang kerajaan (BN) sentiasa digambarkan sebagai yang paling teruk dengan pelbagai tuduhan rasuah, kroni dan bermacam-macam lagi.
Kita ditohmah begitu teruk tetapi ini tidak patahkan semangat kita untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau mengingatkan pengundi di DUN Sitiawan supaya tahu menilai apakah ciri-ciri sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
“Rakyat ada hak untuk tidak undi BN tetapi mereka perlu tahu kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Di majlis sama juga, Menteri Besar turut menyampaikan watikah perlantikan 12 pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru di DUN Sitiawan.