TAIPING: Pengalaman menjadi mangsa banjir hampir setiap tahun membuatkan komuniti Taman Menteri, Kuala Sepetang lebih bersedia menghadapi bencana air pasang besar dari 15 hingga 19 Oktober ini.
Sebagai persiapan awal, 200 penduduk kampung bersama-sama lebih 170 anggota angensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, Jabatan Hutan, Tentera serta pelajar kolej komuniti telah bergotong royong membina benteng guni pasir disepanjang Jalan Sungai Matang, Kuala Sepetang.
Ketua Kampung Taman Menteri Mohamad Noor Mohamad Razali berkata, sebanyak 2,700 guni pasir telah digunakan untuk membina tembok sepanjang 400 meter dengan ketinggian 1.5 kaki tersebut.
"Bulan lepas bila berlaku fenoma air pasang besar ini Kampun Menteri lebih kurang 115 rumah ditenggelami air yang datangnya dari Sungai dan kawasan sini.
"Jadi saya ambil insiatif bincang dengan tok penghulu mukim dan kita berhubung dengan pejabat daerah untuk mendapatkan bantuan segera pasir dan guni ini untuk kita buat tebatan sementara banjir ini," ujarnya ketika ditemui Suara Perak pada Jumaat.
Sementara itu Penghulu Mukim Matang, Ahmad Zarudi Shahrani berkata, segala persiapan menghadi kemungkinan banjir telah pun dibuat.
"Jika berlaku fenomena air pasang besar sehingga memaksa penduduk berpindah ke kawasan pemindahan, kita dah bersedia.
"Segala persiapaan telah kita atur bersama agensi-agensi berkaitan dan diharapkan penduduk dapat bekerjasama juga dengan kita," katanya.
Bagi pelajar Kolej Komuniti Chenderoh, Muhammad Nuraidi Zulkifli, pengalaman membina benteng itu ternyata sesuatu yang baru buat diri bersama 40 lagi rakannya yamg hadir untuk membantu.
"Projek kami hari ini adalah mengangkut pasir letak dalam guni kami bantu dari segi tenaga kami untuk membina benteng pasir bagi mengelakkan banjir di Kuala Sepetang, kami rasa bangga dan gembira dapat bantu masyarakat di sini," katanya.
Mereka ditemui pada gotong royong yang bermula jam 3 hingga 7 petang itu di Kuala Sepetang.