IPOH: Walaupun Barisan Nasional (BN) turut membantah persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Pembangkang masih menuduh tindakan mereka hanya lakonan semata-mata.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa, walaupun banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO dan BN kononnya membantah persempadanan semula itu, setakat ini hanya satu sahaja yang diserahkan kepada SPR.
Nga mendakwa, berdasarkan maklumat yang diterimanya, hanya BN Pasir Salak sahaja yang telah mengemukakan bantahan rasmi kepada SPR.
Berbeza dengan pembangkang, kata beliau, sebanyak 33 bantahan telah dibuat, dengan 20 daripadanya dari DAP, tujuh PKR dan enam Parti Amanah Negara.
“Cadangan persempadanan semula kali ini yang bertarikh 14 September 2016 disifatkan berat sebelah, bersifat perkauman, melanggar prinsip `one man, one vote’ serta bercanggah dengan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan bantahan di Pejabat SPR Perak di sini pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan beberapa wakil rakyat serta pemimpin pembangkang dari DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.
Sebelum ini beberapa bahagian UMNO di Perak telah menyatakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula itu, antaranya UMNO Bahagian Tapah dan Pasir Salak.
Nga mendakwa, cadangan persempadanan semula itu melibatkan lebih 122,000 pengundi yang sama ada ditukar kawasan mengundi ke kawasan parlimen lain ataupun Dewan Undangan Negeri lain.
“Jumlah yang besar ini semestinya akan mampu menentukan keputusan pilihanraya PRU-14 jika ia tidak dipantau,” dakwanya.