Segari - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan rasa kecewa apabila pengagihan senarai penerima Racangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Teluk Kopiah berhampiran Damai Laut di sini diberikan kepada kumpulan yang tidak sepatutnya.
Katanya beliau mendapati pengagihan RTB itu tidak dilakukan dengan betul menyebabkan kumpulan sasar atau penduduk tempatan yang telah mengusahakan tanaman kelapa sawit di kawasan itu tidak tersenarai sebagai penerima.
Beliau berkata sebaliknya RTB itu diberikan kepada kumpulan penjawat awam dan proxy-proxy kepada pegawai kanan kerajaan yang mempengerusikan Jawatankuasa Tanah Daerah.
Jelas beliau lagi scenario seperti itu terjadi disebabkan sikap segelintir pegawai kanan kerajaan yang gagal melaksanakan amanah kerjaan negeri menyelesaian masalah rakyat.
"Saya telahpun merujuk perkara (Kampung Teluk Kopiah) ini kepada (SPRM) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tetapi telah dimaklumkan siasatan SPRM mendapati tiada kes kerana proses pengagihan berjalan dengan betul.
Ya betul, ikut prosedur...tetapi saya kecewa kerana hakikatnya orang yang patut terima tidak dapat. Rakyat tengok tak elok.
Inilah sikap (segelintir pegawai kanan kerajaan) apabila tidak laksana amanah yang diberikan. Mereka nampak peluang, mereka nak ambil dulu...bukan nak selesai masalah rakyat yang mendesak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat kerja ke tapak RTB Kampung Teluk Kopiah di sini pagi tadi.
Menjawab soalan, Menteri Besar berkata beliau tidak menolak kes seperti RTB Kampung Teluk Kopiah turut berlaku di kawasan-kawasan lain.
Berikutan itu, Dr Zambry berkata kerajaan negeri sedang memantau secara dekat semua kelulusan tanah yang dibuat Jawatankuasa Tindakan Tanah Daerah.
"Saya telah arahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melihat keputusan yang dibuat semua jawatankuasa tanah daerah supaya perkara sama tidak berulang," katanya.