MANJUNG: Daerah Manjung telah bersiap sedia untuk menghadapi fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku pada 15 hingga 19 Oktober ini.
Pegawai Daerah Manjung, Mohd Faris Mohd Hanif berkata, pihaknya telah mengambil maklum dan perhatian mengenai fenomena itu yang pertama kali dialami pada bulan September lalu.
Menurut beliau, fenomena air pasang adalah normal, tetapi jika ia diikuti dengan hujan lebat, tidak mustahil beberapa kawasan yang berhampiran laut, seperti Pantai Remis, Pengkalan Bharu dan Bagan Panchor boleh terdedah kepada berlakunya banjir.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat khas persiapan dan persediaan menghadapi fenomena itu pada Rabu lalu yang melibatkan semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Laut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bomba dan polis.
“Di dalam mesyuarat ini, telah diberikan taklimat penuh oleh pihak Meteorologi berkaitan dengan pergerakan cuaca di antara 15 dan 22 Oktober.
“Pada masa yang sama kita juga telah memanggil Jabatan Ukur dan Pemetaan untuk memberikan sedikit penerangan berkaitan dengan kawasan-kawasan yang terdedah dan boleh terkena fenomena ini.
“Kami juga meminta pihak Jabatan Laut untuk memberikan penerangan dari segi pasang surut air,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Mohd Faris yakin, dengan gabungan antara Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Meteorologi dan juga Jabatan Laut, akan memberi gambaran yang lebih kepada JPS untuk membuat perlindungan awal kepada kawasan-kawasan yang terdedah kepada fenomena itu.
Beliau memberitahu, bagi urusan yang berkaitan dengan mangsa pula, pihak pentadbiran daerah telah mengadakan penyesuaian dan penyelarasan dengan pihak polis, bomba, APM dan JKM untuk menjaga dan memberikan pengawasan sebaik mungkin kepada mereka.
“Jadi untuk paras ke lautan, kita meletakkan JPS sebagai jabatan yang paling bertanggungajawab terhadap kawalan dan pengetahuan awal, menerusi sumber informasi Meteorologi manakala bagi mangsa, kita akan uruskan,” ujarnya.
Di samping itu, kata beliau, maklumat berkaitan fenomena itu juga telah diberikan kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.
“Dengan persediaan dan juga kawalan kepada langkah-langkah pencegahan, kita rasakan membantu dari segi memberikan persiapan lebih baik sekiranya fenomena ini melanda di Manjung,” katanya.
Mohd Faris memberitahu, pihaknya menjangkakan kira-kira 100 keluarga yang tinggal di sepanjang kawasan berdekatan dengan laut, akan terlibat sekiranya berlaku fenomena tersebut.
Mengenai kemungkinan fenomena tersebut berlaku mala mini (Jumaat), beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi dan juga Jabatan Ukur dan Pemetaan sebagai makluman awal untuk persediaan.
“Kita sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku, interaksi antara jabatan terlibat telah bersedia untuk tindakan segera dan setiap jabatan yang terlibat dengan fenomena ini semuanya telah faham fungsi dan tanggungjawab masing-masing,” kata beliau.