Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su Keong Siong, 50, didakwa sekali lagi atas tuduhan menganjurkan perhimpunan haram di Ipoh tiga tahun lalu.
Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su Keong Siong
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibacarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin di Mahkamah Sesyen Ipoh. Thomas didakwa dibawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana sebagai penganjur ceramah umum gagal memaklumkan kepada ketua polis daerah tentang perhimpun berkenaan dalam tempoh 10 hari sebelum ianya diadakan. Dibawah akta tersebut tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 di bawah akta sama jika sabit kesalahan. Tertuduh didakwa menganjurkan perhimpunan itu di Wisma Chin Woo, Ipoh, jam 7.30 malam pada 9 Mei 2013. Ikmal Hishan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 18 November ini. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala Thomas diwakili barisan peguam diketuai Ram Karpal Singh. Pada 16 Mei 2014, Mahkamah Sesyen Ipoh telah melepaskan tanpa membebaskan Thomas daripada tuduhan yang sama. Hakim Rushan Lufti Mohd membuat keputusan tersebut kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menyatakan syarat notis 10 hari mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan.