MANJUNG: Hidup senang lenang dan serba mewah dengan menggunakan kad pengenalan palsu.
Itulah yang dilakukan oleh beberapa pendatang warga asing yang menggunakan beberapa dokumen palsu termasuk kad pengenalan untuk memiliki pelbagai harta termasuk membuat pembelian rumah dan kenderaan serta mendapat kontrak kerja sektor binaan.
Bagaimanapun, kehidupan serba mewah yang berlatarkan penipuan itu akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan dalam sebuah Ops Terancang yang diketuai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di beberapa lokasi sekitar Setiawan dan Manjung pada awal pagi Jumaat. Dalam operasi yang dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia itu, seramai 32 orang telah ditahan di atas pelbagai kesalahan melibatkan pemalsuan dokumen dan kesalahan lain. Ketua Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim berkata kesemua mereka yang ditangkap berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun yang kebanyakannya suku Suluk dan Bajau dari selatan Filipina. "Dalam serbuan ini, salah seorang wanita yang ditangkap mempunyai kad pengenalan palsu serta barang kemas bernilai lebih RM50,000 bersama dengan beberapa keping resit gadaian. Malah seutas jam tangan Rolex asli yang dipakainya dianggarkan bernilai RM30,000. "Selain itu, kami juga menemui sijil kontraktor serta 11 keping kad pengiktirafan CIDB yang telah dipalsukan, di mana ianya sebenarnya amat sukar untuk diperolehi daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai kontraktor yang menjalankan kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Selain itu, ada antara mereka mempunyai dua buah kereta, tinggal di rumah mewah malah tidur selesa di dalam bilik berhawa dingin,semuanya disebabkan oleh proses pemalsuan dan penipuan dokumen,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat JPN Manjung pada awal pagi Jumaat. Katanya, kesemua pendatang asing itu dipercayai telah membeli dokumen pengenalan termasuk sijil kelahiran, pasport serta kad pengenalan di Sabah setelah memasuki negeri itu secara haram dan datang ke Perak untuk bekerja. Katanya, perkara paling mengejutkan adalah kebanyakan daripada pendatang asing tersebut mempunyai kad ATM daripada tiga jenis bank selain kad keahlian daripada pasaraya tempatan menunjukkan tahap melampau penipuan mereka seperti seorang warga tempatan.
"Saya nak katakan di sini bahawa teknik pemalsuan mereka merupakan sesuatu yang bukan calang-calang kerana boleh memalsukan sijil kontraktor berkelas tinggi, cip NIOS di passport yang memerlukan teknologi canggih dan sebagainya, hanya untuk hidup mewah di negara kita secara haram,"katanya lagi. Yusri berkata seramai 88 pegawai dan anggota dari Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia Jabatan Imigresen Malaysia,serta Angkatan Tentera Malaysia terlibat dalam operasi sekitar 12 tengah malam hingga tujuh pagi itu. Hasil siasatan, 23 orang yang terdiri dari 15 lelaki dan 8 wanita telah ditahan atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain. Katanya, siasatan lanjut mendedahkan bahawa kesemua dokumen pengenalan palsu telah dibeli di Sandakan dan Kota Kinabalu, Sabah dengan nilai harga antara RM300 hingga RM2,000 "Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun atau denda tidak lebih dari RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,"katanya lagi. Operasi dijalankan di tiga lokasi sekitar Kampung Deralik dan Kampung Acheh di Sitiawan serta Taman Samudera, Manjung, Perak.