Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke program Tasqif al-Nisa peringkat negeri Perak di Auditorium RTM Perak, pada Khamis.
Turut mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli. Hadir sama barisan ahli BAIDURI, wakil dari Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perak serta barisan kepimpinan wanita dari pelbagai jabatan dan NGO. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum Forum Ekselusif Hal Ehwal Islam dengan tema Transformasi Wanita Islam Kini- ‘Selembut Sutera, Seteguh Besi’ berlangsung.
Forum itu dikendalikan oleh moderator, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), AF Ustaz Nabil Ahmad serta tetamu yang diundang khas bagi menyampaikan ceramah iaitu Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamarudin selaku Rektor Universiti Islam Antarabangsa merangkap Pengerusi Panel Pemikir Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI). Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah, Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya Merangkap panel PISWI, Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail turut sama bergandingan sebagai panelis. Forum yang berlangsung hampir dua jam ini menampilkan tajuk menarik khusus untuk memperjelaskan situasi dan cabaran wanita masa kini. Para panelis turut mengetengahkan isu dan persoalan yang sering diperkatakan tentang tugas hakiki wanita menurut Islam.