KAMPAR: Seorang wanita warga Indonesia maut manakala tujuh lain termasuk pemandu cedera apabila van yang membawa pekerja asing dirempuh lori di kilometre 301.9 arah utara berhampiran Gua Tempurung, dekat Gopeng Lebuhraya Utara Selatan awal pagi Khamis.
Mangsa Rosalia Ida, 32, dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) dalam kejadian 4.01 pagi Khamis.
Mangsa bagaimana pun meninggal dunia pada jam 11.48 pagi akibat kecederaan parah.
Enam lagi yang cedera juga merupakan wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 41 tahun manakala pemandu van yang merupakan warga tempatan mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata van itu dalam perjalanan ke utara dari Kuala Lumpur untuk menghantar wanita warga Indonesia itu untuk bekerja.
"Ketika kemalangan, van yang membawa tujuh warga Indonesia dirempuh dari belakang oleh lori yang bergerak arah sama.
Berikutan impak daripada rempuhan tersebut, pemandu dan kesemua tujuh penumpang mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan. " Mangsa, yang mengalami kecederaan parah telah meninggal dunia di Wad Kecemasan 6B, HRPB ketika sedang mendapatkan rawatan,"katanya lagi. Katanya, kesemua wanita tersebut dipercayai berdaftar dengan sebuah agensi pekerjaan untuk dan sedang dalam perjalanan untuk ke utara tanah air untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Kong Soon berkata tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.