top of page
muinsapidin

Peserta Felcra Jangan Terpengaruh Dengan Dakyah

IPOH: Peserta Felcra di negeri ini dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu, semata-mata untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad sebaliknya berkata, mereka harus bersyukur kerana dapat menikatkan kehidupan di negara ini.

Menurut beliau, walaupun kerajaan telah melakukan pelbagai usaha demi untuk rakyat, tetapi adalah mustahil untuk memuaskan hati semua orang.

“Yang penting kita bersyukur kerana dapat banyak nikmat hidup di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan 50 Tahun Felcra di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Felcra Berhad, Zainal Abidin Sharif.

Pada majlis, itu, Saarani berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1966, Felcra telah berjaya mencapai matlamat awal penubuhannya sehingga mampu membangunkan 260,000 hektar ladang di seluruh negara, melibatkan 210,000 peserta.

“Semoga dengan kejayaan ini, Felcra akan terus maju dan kukuh untuk membantu anak cucu kita di masa akan datang,” ujar beliau.

Sementara itu, Zainal Abidin memberitahu, Felcra Berhad Wilayah Perak mempunyai keluasan 37,000 hektar yang melibatkan 22,000 peserta dan telah memberi dividen RM456 juta sejak 2010.

Menurut beliau, antara usaha terbaru yang dilaksanakan di Perak ialah membina rumah generasi kedua di Felcra Seberang Perak di mana 349 unit telah siap pada fasa 1 manakala 710 unit pada fasa 2 masih dalam pelaksanaan.

Beliau memberitahu, selepas 50 tahun, Felcra Berhad akan berwajah baru dengan tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu memperkasakan sektor perladangan; pemerkasaan sektor pembangunan hartanah dan pemerkasaan sektor agri bisnes.

Pada majlis itu, Jebat Din, 63, dari Parit terpilih sebagai Tokoh Peserta Felcra Berhad Wilayah Perak.


18 views0 comments
bottom of page