top of page
muinsapidin

"Dalam jamban pun boleh" Bersih 5.0 cabar Jamal debat

IPOH: Pihak penganjur Konvoi Bersih 5.0 Negeri Perak mencabar Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos untuk mengadakan sesi debat terbuka bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara lebih bertamadun.

ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, Konvoi Bersih 5.0 di negeri Perak merupakan konvoi Bersih paling lama iaitu sekitar tiga minggu bermula pada 22 Oktober depan. Justeru, beliau berasa amat bimbang mengenai tahap keselamatan para peserta konvoi apabila terdapat kemungkinan bahawa pasukan Baju Merah yang diketuai oleh Jamal Yunos mengulangi kelakuan yang sama seperti di beberapa perhimpunan Bersih lepas. " Saya menyeru beliau supaya mengambil cara lebih bertamadun contohnya berdebat dan saya rasa sekretariat tak ada masalah menyambut cabaran itu dengan baik, nak buat di dalam dewan atau jamban pun tak ada masalah. "Ini cabaran terbuka kepada beliau, saya tahu dia sekarang berada di luar negara dan kami akan lebih bersedia dari segi keselamatan sekiranya dia balik ke Malaysia nanti,"katanya kepada pemberita dalam sidang media Bersih 5.0 di bangunan YMCA Ipoh pada Khamis. Katanya, pihak penganjur Bersih yakin bahawa mereka harus menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara lebih baik dan pihaknya bersedia untuk bersemuka dengan Jamal Yunos untuk menyelesaikan konflik berkenaan secara lebih bertamadun. "Kami tahu, motif Jamal adalah untuk menakutkan peserta daripada menyertai konvoi ini, itulah sebabnya kami lebih bersiap sedia dari segi keselamatan agar menimbulkan keyakinan di kalangan peserta,"katanya lagi. Kar Hing berkata, antara pihak yang akan memberi kerjasama adalah pihak Polis Diraja Malaysia ( PDRM), skuad Keadilan dan ( Arif) yang akan memastikan keselamatan semua peserta terjamin sepanjang konvoi berkenaan berjalan. Sementara itu, Ketua Koordinator Bersih 5, Sektor 2 Perak, P. Ramesh berkata konvoi itu akan bermula di Parit Buntar dan berakhir di Tanjung Malim sekitar 15 November depan Jelasnya, tujuan utama konvoi itu adalah untuk menyampaikan mesej utama kepada rakyat iaitu berkaitan dengan tuntutan perubahan sistem demokrasi dan pilihan raya di Malaysia. " Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab konvoi iaitu memastikan mesej mengenai agenda Bersih 5.0 dapat disebarkan di setiap pelusuk bandar utama, pekan kecil mahupun kampung. " Justeru, kami daripada pasukan konvoi 5.0 dengan ikhlasnya menjemput warga Perak yang mendukung prinsip demokrasi dan tuntutan perubaha pilihan raya supaya turut sama mengambil bahagian,"ujarnya. Ramesh berkata antara kawasan yang akan dijelajahi adalah di sekitar Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Meru, Ipoh, Tanjung Rambutan, Batu Gajah, Gopeng, Kampar, Tapah, Bidor, Sungkai dan sebagainya.


95 views0 comments
bottom of page