BAGAN SERAI: Sambutan ulang tahun harijadi seorang lelaki berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam sebuah kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van di Kilometer 102, Jalan Ipoh-Butterworth arah selatan di sini pada pagi Khamis.
Dalam kejadian sekitar 10.30 pagi itu, mangsa, Norhafiszon Shaari,27, dari Kampung Depan Balai, di sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.
Kejadian berhampiran perumahan Taman Serai Baiduri itu turut menyaksikan pemandu van, T Kaliapan, 74, mengalami kecederaan parah manakala rakan mangsa yang memandu kenderaan jenis Honda Accord tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, ketika kejadian mangsa menaiki kereta yang dipandu rakannya, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kampar.
"Siasatan awal mendapati setibanya di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kiri kereta berkenaan mengalami kerosakan menyebabkan pemandu hilang kawalan dan kereta berpusing masuk ke laluan bertentangan.
"Pada masa sama, datang sebuah lori jenis Toyota Hiace dari arah Taiping menghala ke Bagan Serai dan terus melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa setelah tidak sempat menekan brek.
"Impak rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat di Hospital Parit Buntar mengesahkan punca kematian akibat kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Khamis.
Omar Bakhtiar berkata, pemandu lori yang mengalami kecederaan parah turut dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Zulaiha Jelani, 20an, ketika ditemui di bilik forensik Hospital Parit Buntar masih terkejut mengenai berita pemergian suaminya buat selama-lamanya.
Lebih memilukan, Zulaiha mendedahkan tarikh hari semalam merupakan sambutan ulang tahun hari lahir mangsa yang ke-27.
"Sebelum pergi kerja pagi ini (Khamis), arwah ada berpesan akan mengambil cuti separuh hari pada hari ini untuk meluangkan masa bersama saya dan anak tunggal, Airin Farisya, 2.
"Namun, belum sempat kami meraikannya arwah telah pergi selamanya pada hari lahirnya sendiri, kehilangan arwah amat mengejutkan, namun kami sekeluarga redha dengan pemergiannya," katanya.
Jenazah Allahyarham Norhafiszon kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Keramat, di sini sekitar jam 4 petang Khamis.