top of page

51 Kejadian Keracunan Makanan Sehingga Oktober

muinsapidin

IPOH: Sebanyak 51 kejadian keracunan makanan yang melibatkan 1,411 mangsa dilaporkan di negeri Perak bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, daripada jumlah itu, 39 kejadian berlaku di kantin dan asrama sekolah yang melibatkan 1,015 pelajar.

Menurut beliau, kejadian keracunan meningkat secara mendadak pada bulan Ogos lalu sehingga mencatatkan 15 kes.

Berikutan daripada itu, kata beliau, pihaknya menjalankan operasi pemeriksaan mengejut di kantin dan dapur asrama sekolah pada 10 hingga 12 Oktober, yang melibatkan 137 pegawai berkuasa kesihatan.

“Selalunya kita membuat pemeriksaan secara berjadual dengan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada guru besar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Bicara Kesihatan Dari Perspektif Syariah Peringkat Negeri Perak 2016 di INTIM di sini pada Khamis.

Perasmian penutup disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Dr Juita memberitahu, sepanjang operasi pemeriksaan mengejut itu, pihaknya telah memeriksa 195 premis iaitu 89 dapur asrama sekolah dan 106 lagi kantin sekolah.

Menurutnya, daripada pemeriksaan itu, empat buah dapur asrama sekolah telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, masing-masing satu di Hulu Perak serta Kerian dan dua di Manjung.

‘Di samping itu, sejumlah 34 notis Seksyen 32b dikeluarkan kepada pengusaha dapur kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan Tahun 2009 di mana tujuh adalah dapur berasrama dan 27 adalah kantin sekolah,” ujarnya.

Katanya, setiap mereka yang menerima notis itu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Dalam hubungan ini, Dr Juita berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pemeriksaan mengejut setiap bulan bagi memastikan pengusaha kantin dan dapur asrama sekolah sentiasa bersih dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, beliau memberitahu, Taman Teman Bukit Merah Laketown Resort dijangka boleh dibuka semula 26 Oktober ini selepas pihak berkenaan melaksanakan kerja-kerja pembersihan ekoran kes Rotavirus baru-baru ini.

Dalam pada itu, kata Dr Juita, pihaknya juga di peringkat akhir menyediakan garis panduan pengurusan kolam renang yang akan digunapakai oleh pihak yang menguruskan kolam renang di negeri ini.


25 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page