IPOH: Persatuan veteran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta turut melibatkan golongan muda di dalam aktiviti mereka bagi meneruskan kesinambungan perjuangan bagi mencapai matlamat yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, dalam masa yang sama, veteran NGO juga perlu bersedia untuk mendengar suara generasi muda.
Menurut beliau, walaupun lazimnya cara orang muda berfikir dan bertindak berbeza dengan golongan veteran, tetapi ia dapat disepakati dengan kerjasama dan hubungan yang baik.
“Setiap NGO terbahagi mengikut kluster masing-masing, tetapi walaupun cara perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama, Perak Amanjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong “Kacau Bubur Asyura” di Perakfm di sini pada Rabu.
Program gotong royong mengacau empat kawah bubur asyura itu adalah anjuran bersama Persatuan Veteran MAYC Malaysia, Jabatan Penyiaran Perak dan Persatuan Veteran MAYC Perak.
Hadir sama Presiden Persatuan Veteran MAYC Malaysia, Datuk Nasir Safar; Pengerusi Persatuan Veteran MAYC Perak, Datuk Mohd Hamdi Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Perak, Mohd Zazmi Zain.
Samsudin memberitahu, setakat ini terdapat lebih 6,000 NGO di Perak dan mereka diminta melaksanakan program berpandukan kepada sembilan fokus utama di bawa Pelan Tindakan Strategik NGO 2016 – 2020 yang dilancarkan baru-baru ini.
Sementara itu, Nasir berkata, Persatuan Veteran MAYC akan menumpukan program kepada aktiviti kemasyarakatan supaya ia terus diterima masyarakat di samping menghidupkan kembali rangkaian mereka di seluruh negara.
Beliau memberi contoh, antara aktiviti kemasyarakat yang dijalankan ialah program-program keagamaan, kesihatan dan pendidikan ekonomi melalui penubuhan koperasi.
“Sebagai permulaan kita akan membeli sebuah bangunan tiga tingkat di Bandar Tun Razak (Kuala Lumpur) yang berharga RM2 juta melalui konsep wakaf, di mana ahli-ahli veteran boleh memberi sumbangan wakaf mereka,” ujarnya.