Polis Hilir Perak berjaya tumpaskan Geng Amir Rais yang aktif melakukan jenayah kes pecah rumah dan curi motosikal di sekitar Hutan Melintang dan Bagan Datoh sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata dalam Ops Pintu yang dijalankan pada malam Selasa, tujuh ahli termasuk ketua kumpulan tersebut berusia 24 hingga 30 tahun telah berjaya diberkas.
“Susulan penahanan ketujuh-tujuh suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah dan dua kes curi motosikal setakat ini berikutan beberapa suspek telah membuat pengakuan.
"Kita masih memburu saki baki kumpulan itu dan modus operandi mereka ialah memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni," katanya pada satu sidang media khas di Teluk Intan pada Selasa.
Menurut beliau, empat ahli kumpulan itu telah ditahan dalam sebuah kenderaan dekat persimpangan lampu isyarat Hutan Melintang pada 12.15 tengah malam Selasa, manakala tiga lagi termasuk seorang wargana negara Indonesia di tahan di Bagan Datoh.
"Sewaktu penahanan empat lelaki itu, kita telah menjumpai alat-alat yang disyaki digunakan untuk pecah rumah, wang tunai berjumlah RM2,238, tiga buah telefon bimbit serta beberapa paket kecil dadah.
Kita turut menyita kereta yang digunakan mereka."Malah semakan urin mendapati kesemua positif dadah iaitu dua positif morfin dan empat positif Methamphetamine," jelasnya.
Tambah beliau ketua kumpulan geng itu yang didapati pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan tersebut sering kali masuk keluar lokap dan mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes pecah rumah.
“Kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah serta disiasat dibawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.