Gara-gara mahu mengelak didenda RM300 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan, seorang lelaki berusia 30 tahun sanggup membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun dua lelaki di Langkap pada Isnin. Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata cubaan pekerja buruh kontrak itu gagal selepas pihak polis menahannya ketika membuat laporan kerana meragui fakta yang dilaporkannya.
Menurut beliau, selepas soal siasat dijalankan, suspek akhirnya mengakui sengaja mereka-reka kejadian tersebut bagi mengelak membayar denda.
Beliau mengakui kad pengenalan itu sebenarnya hilang selepas tercicir, katanya. “Dalam dakwannya dia berkata dia memberhentikan motorsikalnya di suatu kawasan di Langkap setelah ditahan seorang perempuan yang motorsikal kehabisan minyak. "Pemuda itu mendakwa ketika hendak menolong wanita itu, dua lelaki lain telah datang kepadanya dan mengacu pisau di leher dan diminta untuk menyerahkan barang peribadinya,” katanya pada satu sidang media khas di Teluk Intan pada Rabu. Beliau menambah siasatan juga mendapati suspek telah kehilangan empat kali kad pengenalan sebelum ini. Suspek kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi atau membuat laporan palsu di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.