IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menempelak sikap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang berlakon menjadi seorang pejuang anti-lompat parti.
Tegas Dr Zambry, kelakuan Kor Ming itu adalah sekadar berpura-pura dan kononnya beliau dan parti pimpinannya adalah yang paling suci dan terbaik dalam menentang sebarang usaha lompat parti. "Kenapa beliau mahu mencabar saya? Cabarlah orang yang mengemukakan cadangan itu sendiri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. "Seperkara lagi, kalau Kor Ming jujur, saya cabar beliau menempelak tindakan Datuk Seri Nizar (Jamaluddin) yang melompat parti dari PAS ke Amanah,"katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Rabu.
Dr Zambry mengulas kenyataan Kor Ming yang mencabar wakil rakyat BN membuat usul serta meluluskan enakmen anti lompat parti pada persidang Dewan Undangan Negeri 15 November ini.
Katanya melalui enakmen itu, mana-mana adun yang melompat parti maka pilihan raya kecil wajib diadakan dalam tempoh 60 hari.
Dalam kenyataan itu, Ming turut mengingatkan bahawa jawatan Menteri Besar yang dipegang Dr Zambry kini adalah disebabkan wakil rakyat yang melompat parti pada 2009.
Kor Ming juga berkata sekiranya Dr Zambry tidak menyokong usul ini maka secara jelas beliau menyokong politik ‘katak’.
Menteri Besar itu turut mengingatkan bahawa antara tindakan yang paling hipokrit Kor Ming dan wakil rakyat DAP adalah apabila Nizar yang juga ADUN Changkat Jering terus dinobatkan sebagai ketua pembangkang.
"Inilah tingkah laku Kor Minf dan DAP iaitu apa saja tindakan mereka disucikan dan dihalalkan. "Jadi saya nasihatkan Nga teropong-teroponglah diri. "Tanyalah diri sendiri, akan lakonan-lakonan yang cuba dipentaskan seolah-olah fikiran rakyat boleh dibentuk ikut cita rasa dia,"katanya lagi.