top of page
muinsapidin

Tidak Keluar Mengundi Jika SPR Teruskan Persempadanan

IPOH: Bilangan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke – 14 mungkin merosot jika pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Persempadanan Semula Parlimen Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin ketika mengetuai penyerahan bantahan ke pejabat SPR Perak di sini pada Selasa.

Menurut beliau, kebanyakan pengundi daripada tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terlibat di Pasir Salak membantah cadangan SPR itu kerana mereka cukup selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang dinikmati sejak bertahun-tahun lamanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak SPR akan meneliti dan menimbangkan bantahan yang telah dikemukakan oleh pihaknya.

“Kebanyakan mereka menolak cadangan itu tetapi ada yang menyatakan jika persempadanan ini dijalankan juga, mereka tidak akan keluar mengundi, sebagai menunjukkan bantahan.

“Ini kita bimbangkan kerana salah satu daripada KPI pihak SPR ialah memastikan seramai mungkin orang keluar mengundi semasa PRU dan PRK,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai penyerahan bantahan itu.

Seramai 10 ketua masyarakat daripada tujuh PDM di Parlimen Pasir Salak telah menghantar bantahan yang turut mengandungi tandatangan kira-kira 2,700 pengundi yang terlibat.

Antara PDM yang terlibat ialah Sungai Jejawi, Sungai Rubana, Ladang Seberang, Sungai Durian, Teluk Bari dan Tanjung Kubu yang melibatkan lebih 4,600 pengundi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah.

Dr Faizal memberitahu, pihak SPR telah memaklumkan bahawa pendengaran awam mengenai bantahan itu dijangka akan dijalankan pada bulan November depan.

Beliau berharap ia dapat dijalankan dengan telus dan hati yang terbuka, tanpa berpihak kepada mana-mana pihak atau parti yang berkepentingan.


20 views0 comments
bottom of page