IPOH: Pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dipertingkat kepada tiga lapisan, berbanding dua sebelum ini, bagi menangani sebarang ancaman keganasan dan perilaku jenayah.
Pengurus Lapangan Terbang Malaysia Airport Sdn Bhd LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, pertambahan pemeriksaan itu dibuat sejak April lepas, seiring dengan ancaman isu semasa yang berlaku di seluruh dunia.
Menurut beliau, walaupun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku direkodkan di lapangan terbang itu, pihaknya tidak memandang remeh aspek keselamatan terutama apabila Ipoh turut menerima penerbangan luar negara.
Mohd Ali menjelaskan, selain pemeriksaan ke atas bagasi serta individu yang ingin memasuki balai pelepasan, terbaharu pihaknya melakukan pemeriksaan secara rawak ke atas penumpang.
"Kita mempunyai kamera litar tertutup serta kakitangan keselamatan terlatih untuk memantau penumpang yang berkelakuan mencurigakan di lapangan terbang.
"Sistem ini dikemaskini sentiasa agar membolehkan penumpang lain sentiasa berasa dalam keadaan selamat dan mencegah sebarang kejadian yang tidak dijangka," katanya dalam satu taklimat media di sini, pada Selasa.
Buat masa ini, Mohd Ali menjelaskan, hanya dua syarikat penerbangan beroperasi di LTSAS iaitu Firefly dan TigerAir yang menyediakan laluan pergi dan balik dari Ipoh ke Johor Bahru serta Singapura.
Ditanya mengenai penumpang yang tiba di LTSAS, Mohd Ali berkata, tiada sebarang pemeriksaan khusus dibuat kerana semua penumpang dan bagasi masing-masing telah diperiksa sebelum berlepas.