top of page
  • muinsapidin

Koperasi Bantu Tingkat 13 Peratus Hasil Pekebun Kecil Sawit

IPOH: Jualan buah tandan segar (BTS) secara kelompok melalui Koperasi Penanam Sawit Mampan telah meningkatkan harga jualan sawit pekebun kecil kira-kira RM50 satu tan atau 13 peratus, berbanding jualan melalui peniaga biasa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mah Siew Keong berkata, penglibatan koperasi dalam memastikan pengeluaran hasil BTS berkualiti dan jualan terus ke kilang dapat memberi pulangan pendapatan terbaik kepada golongan tersebut.

Menurut beliau, sehingga September tahun ini, sebanyak 33 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan telah ditubuhkan di seluruh negara di mana 13 daripadanya di Semenanjung, 11 di Sarawak dan Sabah (9).

“Sebanyak 20 buah koperasi telah memulakan jualan kelompok BTS terus ke kilang,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pekebun Kecil Sawit Kebangsaan 2016 di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lebaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wira Ahmad Hamzah.

Dr Mah berkata, di bawah Entry Point Project (EPP) 2 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Sawit, kerajaan telah mengambil inisiatif menubuhkan koperasi Penanam Sawit Mampan bagi menyatukan pekebun kecil.

Beliau memberitahu, kerajaan juga telah memperuntukan RM1.12 juta iaitu RM40,000 di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi tujuan penubuhan koperasi tersebut yang akan terlibat dalam perniagaan BTS secara berkelompok ke kilang.

Dalam pada itu, kata beliau, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, kerajaan memperuntukkan RM200,000 kepada sebuah koperasi bagi pembinaan pusat timbang BTS yang dikendalikan oleh koperasi.

“MPOB juga bekerjasama dengan Agro Bank bagi kemudahan overdraft kepada koperasi bagi pembiayaan modal pusingan kepada koperasi untuk menjalankan jual beli BTS,” ujarnya.

Menurut Dr Mah, sehingga kini, terdapat 229,202 pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kira-kira 911,844 hektar tanaman sawit atau 15,9 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan kawasan sawit negara.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan permintaan dan kegunaan minyak sawit, termasuk penggunaan adunan bio bahan api berasaskan sawit bersama diesel petroleum bagi kegunaan negara.

Beliau memberitahu, pengunaan aunan bio bahan api sawit itu akan ditingkatkan daripada tujuh peratus kepada 10 peratus yang akan menggunakan kira-kira 700,000 tan minyak sawit, sekaligus menyumbang kepada kestabilan harga minyak sawit.


62 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page