IPOH: Kehilangan seorang anggota polis berpangkat konstabel sejak 25 September lalu menyebabkan seluruh ahli keluarga kini sentiasa dalam keadaan sedih dan bimbang.
Muhammad Aizuddin Mohd Azuni, 26, yang bertugas di Balai Polis Langkawi dikatakan hilang selepas dilihat lari ke kawasan kelapa sawit berdekatan Putra Height, Petaling Jaya oleh orang awam sekitar jam 11 malam pada 26 September.
Ibunya, Salamiah Saaidi berkata, sehari sebelum kejadian tersebut, anaknya itu telah pulang ke rumah di Kampung Ribu, Kuala Kangsar dari Langkawi dalam keadaan tidak terurus serta tidak memakai kasut.
“Ketika dia pulang itu kami di Langkawi sedang mencari beliau kerana pihak polis telah memberitahu dia dah tak datang kerja tiga hari.
“Di rumah ada tiga adik beradiknya tetapi mereka ingat dia tidak ada masalah jadi mereka pun biarkan sahaja dia,” katanya pada Suara Perak pada Selasa.
Namun katanya, Muhammad Aizuddin yang merupakana anak kedua daripada tujuh beradik itu kemudiannya mengambil kunci motosikal dan terus beredar dipercayai menghala ke Lebuhraya Utara Selatan.
“Selepas kejadian itu, pada 26 September pula ada orang hubungi makcik katanya nampak dia, orang itu kata dia ambil motosikal orang di sebuah stesen minyak dan terus menghala ke lebuh raya.
“Ketika dalam perjalanan itu orang awam berjaya tahan dia, tetapi mungkin disebabkan terlalu takut dia terus meninggalkan motosikal itu dan lari masuk ke dalam ladang kelapa sawit sampai sekarang langsung tiada berita,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu Muhammad Aizuddin mengalami masalah kemurungan sejak Ogos lalu dan sedang menjalani rawatan di Hospital Langkawi.
“Masa dia balik rumah dalam keadaan kusut masai dan tidak berkasut itu pun, saya rasa dia memang sedang mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.
“Cuma ketika ini saya harapkan beliau balik ke pangkuan keluarga atau mana-mana pihak yang ada terjumpa dia tolong hubungi kami di talian 017-5285394," katanya.