Seorang pekebun sawit berdepan dengan hukum gantung atas pertuduhan membunuh ibunya yang lumpuh dengan menetak muka dan leher warga emas itu.
Chan Chee Keong, 55, dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah Kampung Baru Air Kuning, Tapah bulan lepas.
Pertuduhan terpaksa dibuat di wad 2C Hospital Teluk Intan yang bertukar menjadi kamar mahkamah kerana tertuduh sedang menerima rawatan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal dari Mahkamah Majistret Tapah namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang digari kedua-kedua tangan pada katil wad. Beliau didakwa membunuh Low Kew @ Low Lin Kiew, 74, disebuah rumah bernombor B-23 Kampung Baru Cina, Air Kuning antara pukul 6.45 petang, pada 27 September. Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, magistret tiba di hospital berkenaan kira-kira pukul 11.45 pagi sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap Chan di hospital berkenaan yang diisytiharkan sebagai kawasan mahkamah. Tertuduh ditempatkan di wad tersebut sejak 4 Oktober, seminggu selepas insiden untuk menerima rawatan akibat dipercayai mengalami jangkitan kuman pada otak dan kerosakan buah pinggang.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Nov depan untuk sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili berada dalam keadaan sedar ketika pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farahiyah Nadzri.