top of page
muinsapidin

787 remaja hamil seawal 10 tahun di Perak

IPOH: Sebanyak 787 kes kehamilan membabitkan remaja perempuan berusia 10 sehingga 19 tahun di negeri ini sepanjang tahun lalu.

‎Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata daripada jumlah tersebut 26 peratus atau 204 kes adalah kehamilan luar nikah.

‎Beliau berkata, terdapat penurunan kes kehamilan remaja dilaporkan pada 2015 berbanding tahun sebelumnya iaitu 892 kes.

Katanya walaupun menunjukkan penurunan kes kehamilan kalangan remaja tidak boleh mudah kerana ia berkait rapat dengan gejala sosial.

"Kehamilan kalangan remaja adalah pada 787 atau 2.6 peratus berbanding 30,607 kes antenatal pada 20165. Memang nampak kecil perkara ini tidak boleh dipandang ringgan.

"Sebagai contoh, tiga perempat daripada jumlah ibu-ibu yang datang dapatkan khidmat nasihat penjagaan bayi adalah mereka yang masih bersekolah.

Dengan statistik ini ia menuntut semua pihak perlu bekerjasama memberikan pendedahan kepada remaja-remaja di sekeliling kita,"katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media program Generasiku Sayang di Bilik Mesyuarat UPEN, Bangunan Darul Ridzuan pada Selasa. Mengulas isu berkaitan, Dr Mah berkata, terdapat tiga kes pembuangan bayi melibatkan seorang bayi lelaki dan dua orang bayi perempuan yang direkodkan di Perak pada tahun 2015.

Katanya masih ramai lagi yang tidak tahu mengenai penyediaan Baby Hatch yang disediakan oleh Hospital KPJ Ipoh Specialist Centre yang menerima tujuh bayi sejak pelancarannya pada tahun 2010.

" Baby Hatch ini tidak akan mendedahkan identiti pembuang bayi, kerana tujuan utama adalah untuk menolong mereka," katanya.‎

Selain itu, negeri ini juga mempunyai Pusat Jagaan Sinar Kasih di Batu Gajah yang menempatkan 17 ibu yang merupakan enam adalah warga Perak dan selebihnya dari negeri lain.

Ujar beliau, pelbagai aktiviti di bawah program "Diriku Permata Berharga" telah diadakan dengan usahasama NGO melibatkan topik penjagaan kehamilan dan kaunseling di kalangan remaja sekolah dan pencegahan kes mengandung luar nikah telah dilaksanakan setakat ini di beberapa sekolah sekitar negeri dan akan diperluaskan pada masa terdekat. Katanya, aspek kesihatan, kesinambungan, pendidikan dan kemahiran hidup serta sokongan sosial dan ekonomi adalah kunci utama untuk memperkasakan mereka ke arah kehidupan lebih baik. " Ada di antara remaja hamil ini merupakan mangsa rogol dan bukan atas kehendak mereka. Jadi kita perlu membantu mereka, dan kita akan berusaha untuk mencari penyelesaian hingga je akar umbi,"katanya lagi. Ditanya mengenai alternatif pendedahan pendidikan seks khasnya kepada remaja perempuan yang masih bersekolah, Dr Mah tidak menafikan bahawa ianya amat penting agar mereka mengetahui kaedah terbaik penjagaan fizikal mereka untuk mengelakkan perkara tidak diingini. Katanya, setiap pihak termasuk pendidik dan institusi kekeluargaan khususnya ibubapa perlu memainkan peranan untuk mendidik anak-anak mereka mengenai pendidikan seks dan fisiologi fizikal di peringkat awal. " Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau bantuan diperlukan berkenaan dengan penjagaan antenatal masyarakat perlu tahu bahawa pihak Jabatan Kesihatan Negeri mempunyai persediaan khusus dan sentiasa terbuka untuk membantu mana-mana remaja atau ibubapa yang memerlukannya. " Tambahan pula, kita sudah mempunyai kolaborasi yang erat di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri dan kami berharap kerjasama erat ini akan turut melibatkan golongan ibubapa agar bersama memantau perkembangan remaja-remaja kita pada hari ini,"katanya lagi. Statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia( KKM) pula mendedahkan pada tahun lalu remaja yang berusia 10 hingga 19 tahun yang telah mengandung anak luar nikah adalah sebanyak 3,980 atau 28.8 peratus daripada 13,831 orang. Secara puratanya terdapat 1,500 kes remaja hamil dalam tempoh sebulan dan 50 kes sehari dilaporkan di seluruh negara dan juga bermaksud setiap jam sekurang kurangnya 2 orang anak luar nikah lahir di Malaysia.


143 views0 comments
bottom of page