top of page

Warga emas maut, motosikal suami terperosok bawah lori

  • muinsapidin
  • Oct 10, 2016
  • 1 min read

Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang suaminya bergesel dengan sebuah lori di Simpang Batu 10 Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa Chong Kam Lam, 69 maut selepas motosikal yang ditunggang suaminya terperosok di bawah lori berkenaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu disyaki keluar dari simpang dan membelok ke sebelah kanan lalu bergesel dengan penunggang dan pembonceng motosikal yang berada di sebelah kiri lori tersebut.

“Penunggang dan pembonceng motosikal itu lalu telah terjatuh dan berada di bawah lori tersebut. Pada jam 1 tengah hari kita telah terima maklumat kematian pembonceng motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau menambah, suami si mati, Wong Ah Kau, 71, telah mengalami kecederaan parah pada kedua belah kaki manakala pemandu lori, Hiew Teck Yee, 65 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan terperinci sedang dibuat termasuk rakaman percakapan saksi dan pemandu lori itu pula telah diberi surat jamin polis sementara menunggu kertas siasatan lengkap,” jelasnya.


Comments


bottom of page