top of page
  • muinsapidin

Penduduk Cameron Highlands Tidak Ambil Serius Latihan Banjir

CAMERON HIGHLANDS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi kerajaan sedih penduduk di sekitar Lembah Bertam tidak mengambil serius latihan kecemasan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar (SAB), Cameron Highlands yang dibuat pada Isnin.

Empangan Sultan Abu Bakar (SAB)

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, mentaliti penduduk kawasan itu yang menganggap latihan tersebut tidak penting kerana ia bukan kejadian sebenar perlu diubah kerana ianya mungkin akan memberi kesan buruk kepada mereka satu hari nanti.

“Kita amat sedih dengan sikap masyarakat setempat terutama sekali di Lembah Bertam, sepanjang sungai Bertam dan kawasan berhampiran yang mana masih lagi mengambil sikap sambil lewa dan tidak mengambil berat terhadap nyawa dan harta benda.

“Mereka lupa melalui latihan seperti inilah kita pihak berkuasa ini dapat mengukur sejauh mana keberkesanan jabatan-jabatan yang akan menjalankan tugas sekiranya berlaku sesuatu kejadiaan buruk,” katanya ketika sidang media selepas latihan simulasi banjir itu di sini.

Hanya beberapa penduduk sahaja telah berkumpul di tempat ditetapkan sebaik siren amaran dibunyikan di empangan SAB. Namun latihan itu menerima penyertaan penuh oleh guru dan murid-murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Lembah Bertam.

Sehubungan itu, Hasadid memberitahu satu perjumpaan akan diadakan dengan ketua-ketua masyrakat kawasan itu dalam masa terdekat.

“Kita akan beri peringatan dan kesedaran kepada mereka, latihan seperti ini penting dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda sekiranya kejadian tak diingini berlaku,” ujarnya.

Latihan tersebut telah dijalankan secara kerjasama di antara polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB), bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan kekuatan seramai 12 pegawai dan 128 anggota.

“Sejak insiden pada tahun 2013 dan 2014, kita kerap kali mengadakan latihan-latihan seperti ini bagi mengenal pasti kelemahan dan cabaran yang perlu kita atasi sebagai persediaan,” jelas Hasadid.


28 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page