JKR Kerian Cipta Pemantul Cahaya Kurang Kes Kemalangan
- muinsapidin
- Oct 10, 2016
- 2 min read
IPOH: Kumpulan Warga Bagan Serai (WBS) JKR Kerian berjaya mencipta produk pemantul cahaya malam (median night reflector post) yang dijadikan sebagai penanda keselamatan kepada pengguna jalan raya untuk membantu mengurangkan kes kemalangan.

Menurut wakil kumpulan itu, Siti Saharah Zainal Abidin, pemantul cahaya malam itu yang dipasang di atas pembahagi jalan, kawasan persimpangan dan selekoh yang tiada lampu jalan juga menjimatkan kos penyelenggaraan pembahagi jalan.
Beliau yang juga Jurutera Awam JKR Kerian berkata, pemantul cahaya itu terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan dan membantu memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya, terutama di waktu malam.
“Pemantul cahaya ini memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati hati semasa menggunakan jalan raya dan kita telah memberi banyak manfaat kepada pengguna jalan raya.
“Kita telah membuat soal selidik daripada pengguna jalan raya dan kita lihat kepada statistik kemalangan yang diperolehi dari pihak PDRM mendapati pemantul cahaya malam ini banyak membantu mengurangkan kadar kes kemalangan jalan raya,’’ katanya
Beliau berkata demikian selepas mewakili Kumpulan WBS JKR Kerian untuk menerima royalti pereka cipta median night reflector post di majlis Hari Inovasi JKR Malaysia 2016 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

Royalti bernilai RM6,426.80 itu telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Sri Ir. Dr. Roslan Mohd Taha.
Sementara itu, Ir. Dr. Roslan berkata, pemantulan cahaya itu merupakan antara sembilan produk inovasi JKR yang telah dikomersialkan dan beliau mengucap syabas kepada warga kerja JKR di atas pencapaian tersebut.
“Produk ini boleh menjadi panduan bagi memberi amaran kepada pemandu yang kurang arif ketika melalui jalan-jalan di kawasan yang gelap dan ia dipasang di pembahagi jalan,’’ katanya.
Menurutnya, produk pemantul cahaya malam itu telah dikomersialkan pada 25 Ogos 2015 melalui perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Syarikat DCM Asah Venture selaku pengeluar dan pembekal.
Beliau memberitahu, produk itu juga telah digunakan di negeri Perak, Selangor, Johor, Terengganu dan Kelantan.
Comments