Amanah Mahu Jamal Dikenakan Tindakan
- muinsapidin
- Oct 10, 2016
- 1 min read
IPOH: Pemuda Parti Amanah Malaysia (Amanah) mengesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos kerana didakwa menyerang anggota konvoi Bersih 5 dalam dua kejadian berasingan di Teluk Intan dan Sabak Bernam baru-baru ini.
Ketuanya, Mohd Fitri Asmuni berkata, UMNO juga perlu bertanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap Jamal yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.
Menurutnya, walaupun Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah mengatakan parti itu tidak ada kena mengena dengan geng baju merah, tetapi beliau yakin mereka sebenarnya dalang dalam kejadian tersebut.
“Jadi saya mahu UMNO bertanggungjawab terhadap dua kejadian itu kerana menganggu konvoi aman kami,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Isnin.
Mohd Fitri mendakwa, konvoi Bersih 5 telah dibaling dengan telur di Teluk Intan dan salah seorang anggota konvoi itu telah diserang serta ditendang di Sabak Bernam oleh kumpulan baju merah.
Namun, beliau memberitahu tiada laporan polis telah dibuat mengenai dua kejadian tersebut.
“Laporan polis kita tak buat lagi...saya difahamkan masih belum buat, mungkin kita akan buat nanti..kita belum pasti lagi macam mana,” ujarnya.



Comments