35 Peserta Jalani Latihan Pengurusan Haiwan Taraf Antarabangsa
- muinsapidin
- Oct 10, 2016
- 2 min read
TAIPING: Seramai 35 peserta tempatan, termasuk dua daripada Singapura berpeluang menyertai Kursus Latihan Zoologi dan Aquaria bertaraf antarabangsa selama 10 hari yang bermula pada hari ini (Isnin).

Pengerusi Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (MAZPA), Dr. Kelvin Lazarus berkata, penganjuran kali ke-10 yang memfokuskan latihan pengurusan zoo itu, menampakkan peningkatan penyertaan sejak penubuhannya pada 1994.
Menurut beliau, kesemua latihan pengurusan haiwan baik dari spesis domestik dan hidupan liar akan dijalankan secara teori dan praktikal sepanjang kursus di Zoo Taiping dan Night Safari itu.
"Keistimewaannya mengenai kursus ini adalah ianya bukan sahaja mematuhi dan memenuhi standard piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Perhilitan Negara, malah disahkan oleh World Association of Zoo and Aquariums (WAZA).
"Ini bermaksud modul, panduan serta sebarang latihan teori adalah mengikut spesifikasi latihan husbandry atau pengurusan haiwan di peringkat antarabangsa, setaraf dengan negara lain," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Bilik Seminar Zoo Taiping dan Night Safari di sini pada Isnin.
Dr Kelvin berkata, antara tujuan kursus yang melibatkan 31 organisasi di Malaysia dan Singapura itu adalah untuk melatih petugas dan pengawas zoo dalam aspek pengurusan zoo, pengendalian haiwan, penangkapan, pengkayaan dan persekitaran untuk haiwan.
Menurutnya, dengan peredaran masa, pihaknya telah dapat memperbaiki dan memantapkan semua komponen modul dengan variasi data haiwan pelbagai jenis untuk menjadikannya lebih efektif.
Tambahnya, mereka memilih Zoo Taiping kerana ia mempunyai lebih banyak maklumat mengenai kepelbagaian spesies dan jenis haiwan, sama seperti di Zoo Negara dan Zoo Melaka.
"Apa yang paling menguntungkan, semua peserta merupakan kakitangan zoo, justeru mereka boleh bertukar-tukar pendapat mengenai cara menguruskan haiwan di dalam zoo itu secara kritikal.
"Sebagai contoh, veterinar baru zaman ini kebanyakannya mengendalikan haiwan domestic, namun dengan pendedahan kursus ini, mereka juga dapat menimba ilmu mengenai hidupan liar," ujarnya.







Comments