Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Mahathir Mohamed yang mensasarkan untuk mengambil ahli kerajaan Perak melalui proses “lompat” parti oleh wakil rakyat (Barisan Nasional) dianggap permainan politik kosong pembangkang.
Pengerusi Badan perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, apa yang disebut oleh bekas perdana menteri itu bukan merupakan sesuatu yang baharu dan asing, malah merupakan perkara yang sering digunakan pembangkang. “Baik Tun Mahathir, Nga Kor Ming atau Mat Sabu semuanya akan bercakap dengan nada yang sama kerana mereka itu adalah pembangkang dan mereka akan cuba melakukan apa sahaja. “Tetapi apa yang mengejutkan dahulu mereka balun kita cakap tak boleh lompat dan sebagainya tetapi sekarang mereka pula yang bercakap tentan proses lompat parti,” katanya pada satu sidang media di Sungai Siput pada Ahad. Namun beliau yang juga merupakan Menteri Besar berkata, BN Perak tetap tidak mengambil mudah kewujudan mana-mana parti baharu dari pihak pembangkang yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) depan. “Tidak kisah parti itu PPBM atau apa sahaja namanya, tetapi BN Perak memang sentiasa bergerak melakukan kerja-kerja sebagai persiapan untuk menghadapi PRU. “Sejak dari PRU lepas lagi kita memang dah buat persiapan dan bekerja, bukan kita bekerja kerana kewujudan PPBM tetapi memang pendekatan kami begitu,” jelasnya. Pada Sabtu, Mahathir berkata pembangkang mensasarkan untuk mengambil alih kerajaan Perak dan Terengganu melalui tindakan lompat parti wakil negeri itu. Beliau menjelaskan ini kerana kedua-dua negeri tersebut hanya memerlukan dua wakil rakyat untuk bertukar parti. “Kita tidak perlu tunggu sehingga PRU untuk menang,” kata Mahathir ketika mengulas mengenai ADUN Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh dari BN yang kini menyertai PPBM.