SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji kurikulum untuk sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) dan maahad tahfiz di seluruh negeri Perak bagi memperbaiki kedudukan pendidikan agama Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar kajian itu dibuat bagi memastikan kualiti pendidikan agama negeri ini sentiasa berada di tahap terbaik.
Menurut beliau, Perak mempunyai banyak SAR dan Maahad Tahfiz, dan adalah petting ia diselaraskan bagi menage agar kualiti yang ada itu berada di tahap terbaik.
“Ianya bukan sahaja terletak kepada silibusnya, tetapi merangkumi semua aspek kurikulum termasuk dari segi persediaan guru, persediaan prasarana dan kualiti pengajaran yang ada di setiap sekolah agama atau maahad tahfiz yang diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ijtihadiah, Kampung Bahagia, Sungai Siput pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi sekolah tersebut, Datuk Ahmad Pakeh Adam dan ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun.
Kata Menteri Besar lagi, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin serta pakar-pakar dalam bidang pendidikan Islam.
“Jawatankuasa ini juga diwakili oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini iaitu pengajar-pengajar di sekolah agama dan maahad tahfiz, pendidik di peringkat universiti serta berpengalaman dalam penyediaan kurikulum di Malaysia dan antarabangsa,” jelasnya.
Tambah beliau laporan lengkap itu akan dikeluarkan pada Jun 2017.