IPOH: Kebiasaannya lorong-lorong belakang kawasan perumahan terbiar kosong dan dijadikan sebagai kawasan pembuangan dan longgokan sampah.
Tetapi berlainan pula bagi Persatuan Kebudayaan Tarian dan Nyanyian Cina Menglembu Perak yang memanfaatkan kawasan lorong belakang perumahan yang terbiar sebagai produk tarikan pelancong.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, pendekatan yang diambil oleh persatuan itu dengan memanfaatkan lorong belakang perumahan sebagai kawasan aktiviti kebudayaan seperti permainan muzik lama warisan Cina dapat menarik pelancong tempatan dan luar ke Menglembu.
``Selalunya jalan belakang ini dibiarkan begitu sahaja, kalau kita pergi ke mana-mana perumahan sekalipun, kita lihat jalan belakang ini dibiar begitu sahaja seolah-olah ia menjadi satu tempat yang langsung tidak boleh digunakan untuk apa apa aktiviti.
``Tetapi apa yang dilakukan oleh persatuan ini dengan memanfaatkan lorong belakang perumahan sebagai tempat kegiatan kebudayaan berjaya menarik perhatian pelancong dalam dan luar untuk melawat Menglembu,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Pertukaran Kebudayaan Koridor Menglembu di Menglembu pada Ahad.
Menurut Nazri, usaha yang dilakukan oleh persatuan ini sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) harus dipuji dan dicontohi oleh NGO lain dalam membantu meningkatkan industri pelancongan di Perak.