IPOH: Bakat semulajadi setiap anak-anak istimewa yang berpotensi mengharumkan nama negara hanya boleh dicungkil sekiranya mereka diberikan peluang untuk berinteraksi dan bersosial bersama komuniti seperti kanak-kanak biasa.
Itulah pesanan Ketua Pegawai Eksekutif D'Aman, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz kepada ibubapa yang masih berasa kekok untuk membawa anak mereka ke dunia luar kerana stigma negatif di fikiran mereka.
Beliau berpendapat, ibubapa harus berbangga kerana anak istimewa merupakan anugerah Allah yang menguji tahap kesabaran dan keimanan serta menjadikan mereka lebih kreatif dalam membesarkan mereka menjadi insan berguna di masa hadapan.
" Lihat sahaja kejayaan Ridzuan Puzi, Ziyad serta Abdul Latif yang memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik baru-baru ini, telah mengajar kita erti sebenar kebolehan bukan dinilai berdasarkan zahir seseorang manusia.
" Malah, mereka juga berjaya membuka mata kita agar memberi perhatian dan penekanan lebih kepada bakat terpendam golongan anak istimewa ini kerana kebanyakannya sejak azali seorang yang pemalu," katanya kepada Suara Perak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program unik 3 dalam 1 Hari Sukan Sekolah, Hari Sukan Negara dan Hari Pendidikan Khas di SK Pendidikan Khas, di sini pada Sabtu.
Azizul Kama yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun berkata, antara pencapaian yang wajar dijadikan inspirasi lain adalah pemilik rangkaian 99SpeedMart, Lee Thiam Wah yang lumpuh kedua belah kaki sejak kecil namun berjaya mengatasi cabaran dan memiliki 200 cawangan di seluruh negara.
Seramai 23 murid kanak-kanak khas berkenaan diraikan oleh lebih 460 jemputan yang merupakan gabungan pelbagai agensi termasuk Dewan Bandaraya Ipoh ( DBI), Pasukan Gerakan Am ( PGA), Kolej Cosmopoint, Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah dan banyak lagi.
" Mereka ini sebenarnya sama kedudukannya di dalam hidup masyarakat justeru program ini wajar diteruskan agar ianya dapat memberi kesedaran dan jati diri kepada golongan anak-anak syurga ini bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam pembangunan negara," ujar Azizul Kama.