IPOH: Sambutan Hari Sukan Negara diraikan dalam pendekatan berbeza oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Tambun dengan "menghidupkan" semula warisan dan permainan tradisional yang semakin dilupakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, kelainan itu merupakan cetusan idea daripada penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Katanya, lebih 1000 peserta, termasuk, pelajar Kolej Kesihatan Bersekutu Hulu Kinta dan Institut Latihan Perindustrian menyertai sambutan yang bermula sejak 8 pagi itu.
"Jika ramai di antara lokasi lain memilih untuk menaikkan sukan atau aktiviti kebiasaan maka kami merebut peluang ini untuk menceritakan sukan yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak kami dulu.
"Antaranya, antaranya galah tarik tali, tarik upih, lari dalam guni, kukur kelapa, congkak, teng teng, batu seremban, galah panjang, lari tempurung kelapa dan kukur kelapa,"katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara di Padang Halaman Meru Permai pada Sabtu.
Beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun berkata, kehadiran masyarakat setempat yang berbilang kaum turut meriahkan sambutan bertemakan permainan tradisional dan komuniti sejagat itu.
Turut hadir, ADUN Manjoi, Mohammad Ziad Zainal Abidin.
Dalam majlis tersebut, para tetamu telah mengambil pendekatan tradisional berkayuh basikal tua beramai-ramai untuk ke tapak program.
Antara acara yang mendapat sorakan hebat daripada pengunjung adalah tarik tali berikutan kehadiran belas Juara Nasional iaitu KDAS 3 Warrior yang mempamerkan aksi cukup menghiburkan kesemua yang melihatnya.