KAMPAR: Lebih 200 pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sahom telah mengadakan perhimpunan di Dewan Orang Ramai Kampung itu pada Sabtu kerana membantah persempadanan semula kawasan pilihanraya yang menyebabkan mereka dipindahkan ke Parlimen Kampar.
Mereka yang diketuai Ketua Pembantahan PDM Kampung Sahom, Adnan Puteh telah menandatangani surat bantahan persempadanan semula itu untuk diserahkan kepada pihak SPR Isnin ini.
Menurut Adnan, selain pengundi PDM Kampung Sahom, dua lagi PDM yang turut terlibat dalam pemindahan itu ialah pengundi PDM Sungai Siput Selatan dan PDM Kuala Dipang yang melibatkan 3,088 pengundi.
Katanya, pengundi-pengundi dalam PDM Kampung Sahom berharap pihak SPR dapat mempertimbangkan semula cadangan pemindahan mereka ke Kampar kerana selama ini merasa lebih selesa berada di dalam kawasan Parlimen Tapah.
``Kami telah pun menerima layanan yang amat baik daripada wakil rakyat yang ada sekarang dan juga wakil rakyat yang sebelumnya, termasuk dari segi penyediaan prasarana seperti jalan kampung, bekalan air dan letrik,’’ ujarnya.
Seorang pengundi, Fatimah Osman pula berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pemindahan itu kerana ia merugikan semua pengundi di PDM Kampung Sahom.
``Saya berharap pihak SPR dapat menimbang semula cadangan pemindahan itu demi kepentingan pengundi di PDM Kampung Sahom ini,’’ katanya.
Pengerusi PDM Kampung Sahom, Pazli Abdullah Sani berkata, beliau membantah keras cadangan SPR itu atas dasar kepentingan pengundi dan demi masa depan anak cucu mereka.
``Kami membantah demi masa depan anak cucu kami di PDM Kampung Sahom, bukan di atas dasar kepentingan peribadi ataupun kepentingan mana-mana parti politik,’’ katanya.