top of page
  • muinsapidin

Bersih Tidak Jejas Sektor Pelancongan Negara

KUALA KANGSAR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menegaskan perhimpunan dan demonstrasi Bersih tidak menjejaskan sektor pelancongan negara.

Malah, kata beliau, perhimpunan dan demonstrasi Bersih itu telah menaikkan imej negara di mata dunia kerana sentiasa mengamalkan sistem demokrasi.

Menurut Nazri, beliau menyatakan demikian kerana kerajaan telah memberikan hak kepada mereka menerusi Akta Perhimpunan Aman dan sekiranya perhimpunan Bersih tidak diadakan, dunia tidak akan tahu bahawa Malaysia mempunyai akta perhimpunan aman.

``Jadi pada saya kita telah memberi akta ini kepada mereka dan sebenarnya kalau mereka tidak buat demonstrasi, dunia tak akan tahu bahawa kita ada akta ini.

``Jadi apabila mereka buat demonstrasi maka akan dilaporkan begitu meluas satu dunia tahu bahawa di Malaysia kita mengamal demokrasi dan kita ada Akta Perhimpunan Aman, jadi bagi saya, buatlah asalkan dia menepati segala apa syarat-syarat yang telah ditentukan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Fun Ride kawasan Parlimen Padang Rengas di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Padang Rengas pada Sabtu.

Nazri turut menjelaskan bahawa sektor pelancongan negara tidak terjejas akibat perhimpunan Bersih kerana bagi pelancong negara luar yang datang ke Malaysia seperti negara Jepun, Korea dan Eropah, perhimpunan dan demonstrasi merupakan amalan biasa di negara mereka sendiri.

Ditanya mengenai dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau mendapat sokongan Pas untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN), Nazri menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai `lakonan’ semata-mata.

Beliau menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang `lidah bercabang dua’ kerana sewaktu dalam UMNO, akan menghukum siapa yang menentang UMNO dan mahu menghancurkan Islam dan Melayu tetapi hari ini, dia mengaku mendapat sokongan Pas untuk menumbangkan BN.

Nazri menganggap Muhyiddin sebagai pengkhianat terbesar bersama Tun Mahathir, Mukhriz dan Shafie Apdal yang diibaratkan sebagai `lidah bercabang dua’.

Katanya, beliau tidak fikir Pas memerlukan sokongan Muhyiddin kerana memang sejak dahulu lagi Pas berjuang untuk melawan BN.

Terdahulu, sempena Hari Sukan Negara, beliau telah melepaskan 250 peserta kayuhan berbasikal sejauh 15 kilometer dan menyampaikan hadiah kepada kesemua peserta.


14 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page