top of page
muinsapidin

BAKAT Ungguli Ujian Kemahiran Menembak Lima Penjuru 2016

IPOH: Pasukan Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia Negeri Perak (BAKAT) mengungguli Ujian Kemahiran Menembak Lima Penjuru Tahun 2016 apabila berjaya meraih juara keseluruhan dengan 1376 markah menewaskan empat pasukan lain.

Tempat kedua dimenangi oleh Persatuan Keluarga Polis Negeri Perak (PERKEP) dengan 1364 markah manakala Ketiga jatuh kepada pasukan Istana menerusi 1359 markah.

Acara tahunan yang melibatkan penyertaan lima pasukan ini turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bagi mengetuai pasukan Istana.

Hadir sama, Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli dan para peserta yang mengambil bahagian mewakili pasukan masing-masing.

Ia merupakan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Negeri Perak dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang berlangsung di Lapang Sasar, Padang Tembak Ipoh pada Sabtu.

Bagi acara Perseorangan Centre Fire, Johan diperoleh pasukan Istana (A) yang diwakili oleh Tuanku Zara (178 markah), Naib Johan jatuh kepada BAKAT (B) oleh Suliana Jaafar (175 markah) dan Ketiga Bakat (A), Jamaiyah Kassa (174 markah).

Berpasukan Centre Fire pula, tempat pertama BAKAT (820 markah), pasukan Istana mendapat tempat Kedua (816 markah) dan PERKEP tempat Ketiga (774 markah).

Acara Falling Plate, Johan dimenangi oleh pasukan Istana (A), Naib Johan, BAIDURI (A) dan Ketiga, BAKAT (B).

Pasukan yang mengambil bahagian dalam ujian tahun ini adalah Istana, PUSPANITA, BAIDURI, PERKEP dan BAKAT.

Selain merebut hadiah yang dipertandingkan, ia diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara badan-badan kebajikan dan persatuan yang terlibat.


88 views0 comments
bottom of page