top of page
muinsapidin

20 Mahasiswa UPSI Terima Geran Pendidikan Yayasan Yu Chai

TANJUNG MALIM: Seramai 20 mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih sebagai penerima bantuan pendidikan berjumlah RM960,000 daripada Yayasan Yu Chai bagi membiayai pengajian bahasa peringkat sarjana.

Pengarah Urusan Yayasan Yu Chai, Tiong Ting Ming berkata, inisiatif itu selaras dengan teras penubuhan yayasan mahu membantu mengurangkan beban perbelanjaan siswazah yang mendalami jurusan pendidikan dan penguasaan bahasa ibunda.

Menurut beliau, untuk kali ini, pihaknya telah memilh 20 mahasiswa yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin sebagai penerima.

“Yayasan berpegang kepada prinsip bahawa setiap warganegara Malaysia berhak untuk mendapat peluang meningkatkan potensi diri dan berjaya, justeru pendidikan adalah kunci utama bagi menjamin masa depan mereka

“Kami memilih mahasiswa jurusan Bahasa Tamil dan Mandarin kerana merasakan perlu ada lebih ramai pendidik yang boleh menguasai bahasa Mandarin dan Tamil bagi memenuhi keperluan sekolah vernacular,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Bangunan Canselori, UPSI pada Jumaat.

Ting Ming berkata, dengan tenaga pendidik yang pakar, akhirnya akan lahir generasi yang dapat menguasai dua bahasa ibunda ini.

Menurutnya, mereka memilih UPSI sebagai institusi penerima bantuan kewangan tersebut kerana yakin akan kualitinya sebagai pusat pengajian pendidikan tertua yang telah melahirkan ramai guru berkaliber di seluruh Malaysia.

“Setiap pelajar akan menerima RM48,000 seorang untuk pembiayaan kursus setiap tahun dan saya berharap agar semua penerima dapat merintis sebuah pedagogi yang baru dalam modul pendidikan mereka.

“Seorang guru yang baik sewajarnya bukan sahaja handal dalam memperbaiki sistem Pembelajaran dan Pengajaran ( P&P) dalam kelas, tetapi bijak menggunakan kemahiran yang sebaiknya untuk menarik minat pelajar di semua peringkat sekolah,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai usaha Tanggungjawab Sosial Korporat Yayasan Yu Chai, Ting Ming berkata, sebelum ini pihaknya telah melancarkan pelbagai jenis program bertujuan untuk memperkasakan pendidikan di seluruh Malaysia sepanjang tahun 2015 hingga 2016.

Beliau memberitahu, antara program itu ialah pemberian biasiswa bernilai RM2.3 juta kepada 133 pelajar di peringkat sekolah menengah di samping RM500,000 diberikan kepada pelajar jurusan pendidikan di New Era College dalam peringkat Diploma.

Selain itu, tambahnya, sebanyak RM4 juta ringgit telah disediakan untuk pembelian peralatan sains dan teknologi bagi meningkatkan persekitaran kondusif bagi pelajar di sekolah masing-masing.

Sementara itu, seorang penerima geran pendidikan di UPSI, Kong Teck Jing yang sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Mandarin) berkata, bantuan yang diterimanya dapat meringankan beban keluarga.

“Ayah saya sudah tidak bekerja, jadi bantuan ini sebenarnya merupakan satu pertolongan yang amat membantu dan berharap ia akan menjadi pendorong untuk saya menjadi cikgu yang dapat memupuk minat mempelajari bahasa ibunda kepada pelajar di seluruh Malaysia,” katanya.

S. Loggenthiiny, yang mengambil jurusan Bahasa Tamil pula berpendapat, dengan peluang itu, bermakna beliau kini boleh membeli bahan rujukan bahasa yang berkualiti, di samping pergi ke India untuk melakukan kajian terperinci mengenai bahasa itu.

“Saya rasa amat bertuah kerana di antara ratusan pelajar jurusan ini, saya terpilih untuk menjadi penerima bantuan dan merintis manfaat Yayasan Yu Chai dalam pengajian saya selama tiga tahun ini,” tambahnya.


46 views0 comments
bottom of page