top of page
muinsapidin

Rotavirus Tidak Beri Impak Berterusan Kepada Taman Tema Bukit Merah

KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak yakin bahawa kes jangkitan Rotavirus di Taman Tema Air Bukit Merah Lake-town Resort tidak akan memberikan impak negatif berterusan kepada pusat pelancongan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, jangkitan virus itu merupakan insiden yang hanya berlaku secara one-off dan bukannya berulang mahupun dalam jangka masa panjang.

Menurut beliau, buat masa ini pihak pengurusan taman tema yang diuruskan di bawah pemaju MK Land itu memberikan kerjasama yang cukup baik dalam mengambil langkah mengurangkan sebarang risiko penyakit yang berkaitan dengan air di masa hadapan.

" Saya telah mendapatkan informasi daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkenaan dengan perkembangan Rotavirus di taman tema tersebut, dan hasil lawatan beliau, didapati air di kelima-lima kolam telah dilepaskan dan para pekerja kini sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kolam dan beberapa lokasi.

"Pada masa yang sama, mereka mengambil peluang ini untuk melakukan kerja-kerja pembersihan penuh dua tangki penapisan air dan semua kerja ini akan memakan masa selama dua minggu," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak Dewan Komuniti Kg Baru Jerlun di sini pada petang Khamis.

Dr Mah berkata, pihak pengurusan Bukit Merah Laketown Resort memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan bagi tujuan pemeriksaan menyeluruh dan mesyuarat bersama dengan pihaknya turut dihadiri oleh Felina Mustapha Kamal.

Menurut beliau, taman tema tersebut bakal dibuka semula setelah sampel air diambil semula dan keputusan dijangka akan menjadi normal kerana sumber air tersebut datang daripada Lembaga Air Perak dan sistem tapisan baru telah digunakan.

Sementara itu, menyentuh mengenai dewan komuniti Kg Baru Jerllun, Dr Mah berkata pihaknya telah meneliti kawasan keseluruhan kawasan dewan berkenaan dan tindakan untuk memperluaskannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

" Kita telah menggazetkan kawasan sebanyak 460 kaki persegi sebelum ini untuk tujuan pembinaan dewan, namun ianya terlalu kecil justeru kita kini telah menambah sebanyak 826 kaki persegi, menjadikan keluasan keseluruhan 1226 kaki persegi.

" Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat Exco dan berharap dengan peruntukan sebanyak RM700,000 daripada Jabatan Perdana Menteri, kita dapat memulakan proses pembinaan secepat mungkin," ujarnya.

Beliau menambah, fasiliti dan keperluan kemudahan asas bagi dewan yang akan menjadi gelanggang bola keranjang serta dewan serbaguna itu akan ditentukan kelak.


39 views0 comments
bottom of page